MFL bantu publisiti pasukan

PUBLISITI … Perlawanan diantara pasukan Selangor FC II menentang Sarawak United FC, petang Sabtu lalu telah disiarkan secara langsung di media sosial rasmi Facebook TVS.

PEMINAT pasukan yang bertanding di saingan Liga Premier tidak lagi perlu risau sekiranya mahu terus berada di belakang pasukan kesayangan masing-masing.

Ketika tumpuan di media utama lebih terarah kepada saingan Liga Super, kini Malaysian Football League (MFL) tampil dengan cara tersendiri untuk cuba bantu pasukan Liga Premier mendapatkan publisiti.

Dengan memahami situasi getir yang sedang dihadapi pasukan sepanjang pandemik Covid-19 ketika ini, MFL kini membenarkan pasukan Liga Premier untuk membuat siaran langsung perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata kebenaran untuk pasukan membuat siaran langsung baki perlawanan musim ini di platform media sosial dan inisiatif ini adalah salah satu usaha pihaknya untuk membantu pasukan.

“Pihak MFL berharap ini membolehkan lebih peminat menyaksikan perlawanan.

“Ia juga dapat membantu kelab-kelab Liga Premier memberikan pulangan komersial kepada penaja masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini.

Kelantan, Negeri Sembilan dan Sarawak United FC antara pasukan yang menyiarkan perlawanan secara pay-per-view buat penonton mereka musim ini.

Dalam perkembangan lain, penganjur Liga Malaysia (Liga M) itu mendedahkan seramai 62,318 penonton hadir ke stadium sepanjang kebenaran kehadiran ke stadium pada 2 April sehingga 9 Mei lalu.

Jumlah itu membabitkan 41 aksi Liga Super dan 10 perlawanan Liga Premier.

“MFL amat terharu dengan sambutan yang telah diberikan oleh peminat bola sepak tanah air. Teruskan menyokong bola sepak kita, Liga Malaysia, liga kita.

“Tidak lupa penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan kelulusan manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan kerjasama sangat baik kepada MFL untuk meneruskan Liga M dalam tempoh mencabar ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, perlawanan diantara pasukan Selangor FC II menentang Sarawak United FC, petang Sabtu lalu telah disiarkan secara langsung di media sosial rasmi Facebook TVS.