Fokus kesejahteraan rakyat

KUCHING: Kerajaan Sarawak melakukan pelbagai inisiatif dengan memberikan penekanan terhadap sektor ekonomi dan perkhidmatan digital demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia bertujuan memastikan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dapat dilaksanakan secara efektif dan proaktif.

Katanya, kementeriannya turut bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan syarikat SOCOE sdn bhd menerusi projek selama dua tahun bagi mendigitalkan semua perkhidmatan utama demi kemudahan orang awam.

“Antara perkhidmatan yang digitalisasikan ialah perkhidmatan permohonan Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Dana Endowment Sarawak untuk bayi baru lahir, permohonan dalam talian untuk pemberian tadika khas, Geran Usahawan Wanita, aplikasi Kad Emas Kenyalang (KGC), Rakan Strategik KGC serta banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan platform perkongsian Dialog Digital: Mengubah Penyampaian Perkhidmatan Awam dalam Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak yang diadakan menerusi aplikasi Zoom semalam.

Dalam pada itu kata Fatimah, bidang utama KWKPK dalam perjalanan digital akan menggunakan lima objektif utama iaitu perkhidmatan berpusat kepada masyarakat, perkhidmatan secara maya, penglibatan agensi lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membina tenaga kerja yang berkualiti dan keputusan berdasarkan data sebagai asas.

Berhubung program yang dilakukan selama dua hari ini, SOCOE sdn bhd telah melakukan tinjauan dan penemuan baharu yang akan menyumbang kepada kajian proses perniagaan, struktur pangkalan data sistem dan membantu membentuk landasan untuk beralih ke fasa berikutnya bagi penambahbaikkan sistem iSarawakCare.

Justeru katanya, apabila sistem iSarawakCare lengkap kelak, ia akan membantu mewujudkan asas yang lebih kuat untuk tenaga kerja yang dinamik serta menekankan saluran elektronik dan kehebatan digital masa kini.

“Selain itu, ia juga mampu mewujudkan fleksibiliti dan aksesbiliti yang lebih besar untuk perkhidmatan awam selain memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk kepuasan pelanggan,” katanya.

Oleh SYAMIMI HUSNA