Klinik Penyakit Pernafasan dibuka

ZARINA ABDULLAH

KUCHING: Klinik Penyakit Pernafasan (Respiratory Clinic) yang dibuka di Stadium Perpaduan di sini adalah berbeza dengan pemeriksaan Covid-19 yang dilaksanakan di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, klinik berkenaan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan percuma kepada mereka yang memerlukan rawatan seperti mengalami batuk, selsema dan demam serta masalah pernafasan lain.

“Mereka yang mendapatkan rawatan di sini mestilah tiada kaitan atau kontek dengan orang yang disyaki (PUI) atau pesakit positif Covid-19.

“Jadi dengan cara ini, ia menyediakan peluang supaya supaya tidak menyebabkan hospital sesak dan juga mengelakkan kumpulan yang mungkin ada wabak Covid-19 bercampur dengan mereka yang tiada kaitan sekali gus mencegah berlakunya jangkitan.

“Maka, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membuka Klinik Penyakit Pernafasan di Stadium Tertutup bermula hari ini (semalam),” katanya sambil mengingatkan mereka yang mempunyai kontek dengan Covid-19 untuk pergi ke Kompleks Belia dan Sukan Sarawak yang terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika berkunjung ke klinik tersebut dan turut ditemani oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Chin Zin Hing.

“Jadi kita berharap ini dapat membantu dan mengasingkan mereka yang mempunyai simpton Covid-19, jadi kita menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan jarak sosial semasa datang untuk mendapatkan pemeriksaan.

“Kita berharap ini dapat membantu rakyat dan perkhidmatan ini adalah percuma,” tambahnya.

Sementara itu, Dr. Sim Kui Hian berkata, tujuan utama klinik pernafasan itu adalah untuk melindungi ramai orang termasuk barisan hadapan daripada mendapat jangkitan Covid-19.

“Setakat ini kita bermula dengan di sini dahulu, dan melihat bagaimana perkembangannya, jika ia menggalakkan, kita akan menubuhkan seumpana di Sibu, Miri dan seterusnya.

“Mereka yang batuk, demam dan sesak nafas boleh datang ke sini dan bukannya pergi kepada doktor umum, jika tidak semua tempat akan sesak. 

“Di Sarawak terdapat lebih daripada 250 doktor umum dan sukar bagi kita memberikan perlindungan mencukupi kepada semua mereka.

“Jadi doktor umum boleh memberi tumpuan kepada mereka yang tidak batuk, tidak demam dan tidak mengalami sesak nafas. Kami memerlukan mereka untuk menumpukan perhatian serta menangani aspek lain dari perkhidmatan perubatan,” katanya.

Klinik berkenaan dibuka kepada penduduk di sekitar Kuching yang mempunyai masalah batuk, selsema dan demam.

Klinik bertempat di halaman luar Stadium Perpaduan itu dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang (Isnin hingga Jumaat) dan tutup pada Sabtu, Ahad dan cuti.