Afghanistan punyai RM4.24 trilion sumber mineral

PEKERJA Afghanistan melakukan kerja-kerja melombong sumber mineral di kilang berdekatan kampung Qara Zaghan di Baghlan. • Foto AFP

KABUL: Afghanistan mempunyai sumber mineral yang belum disentuh bernilai AS$1 trilion (RM4.24 trilion) termasuk bahan galian berharga yang mendorong peralihan dunia kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Namun, Taliban berdepan masalah besar apabila dihimpit isu kewangan sejak mereka kembali memegang tampuk pemerintahan negara selepas 20 tahun.

Hal ini ditambah dengan tindakan pemberi bantuan utama iaitu Amerika Syarikat (AS) yang menghentikan sokongan terhadap Afghanistan.

Perang yang berpanjangan dan kelemahan infrastruktur menghalang negara miskin itu menguruskan sendiri kerja-kerja penggalian dan perlombongan yang dapat meningkatkan kekayaan ekonominya.

Kajian Geologi AS (USGS) mendedahkan sumber mineral itu termasuk bauksit, tembaga, bijih besi, litium dan nadir bumi.

Walaupun pengambilalihan Taliban boleh menghalang kemasukan pelabur asing, namun, sebuah negara tiba-tiba muncul dan menyatakan kesediaan untuk menghulurkan bantuan iaitu China.

Kuasa ekonomi terbesar kedua di dunia itu bersedia menjalinkan hubungan baik dan bekerjasama dengan Taliban.

China Metallurgical Group Corporation memenangi hak pada 2007 untuk melombong bijih tembaga di Mes Aynak yang terletak di tenggara Kabul selama 30 tahun dan mengekstrak 11.5 juta tan komoditi.

Menurut China Times, projek untuk memanfaatkan simpanan tembaga kedua terbesar di dunia itu belum dieksploitasi dan beroperasi kerana isu keselamatan.

Sumber dari syarikat itu memberitahu, pihak syarikat akan mempertimbangkan untuk membuka semula aktiviti perlombongan itu selepas keadaan kembali stabil.

Felo Kanan Kumpulan Pemikir Institut Brookings yang berpusat di Washington berkata, walaupun pemimpin China ‘tidak bersemangat’ mengenai pengambilalihan Taliban, namun, mereka tidak akan membiarkan prinsip menghalangi pragmatisme.

“Kurangnya pembangunan Bejing terhadap pelaburan utama di lombong tembaga Mes Aynak menunjukkan kesediaannya bersabar dalam mengejar pulangan pelaburan,” tulisnya dalam sebuah blog.

Pakar Perancis, Pitron pula menjelaskan orang Cina tidak meletakkan perjanjian perniagaan berdasarkan prinsip demokrasi.

Beliau malah mempersoalkan tiada kepastian bahawa Afghanistan akan menjadi seperti sumber mineral El Dorado yang dikenali sebagai bandar emas.

Jelasnya, penemuan simpanan mineral dan permulaan operasi perlombongan memerlukan masa selama 20 tahun.

“Tiada syarikat yang ingin melabur jika tiada iklim politik dan perundangan yang sangat stabil,” ulasnya.-AFP