Eropah longgarkan larangan, jangkitan melebihi 3.5 juta

PEMILIK premis perniagaan mengadakan protes di Piazza San Marco, Venice bagi menuntut lebih banyak sektor dibuka berikutan kelonggaran perintah berkurung kerana Covid-19 di Itali. • Foto AFP

ROME: Ribuan penduduk Eropah menyaksikan perintah berkurung dilonggarkan pada Isnin, bermula dengan Itali yang sebelum ini antara negara paling teruk terjejas dan berada dalam pengasingan Covid-19 selama dua bulan.

Itali adalah negara kedua selepas Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan angka kematian tertinggi akibat Covid-19, namun kilang dan tapak pembinaan sudah mula beroperasi.

Restoran mula dibuka dengan hanya menjual makanan bungkus, tetapi bar dan kedai ais krim masih belum dibuka.

Penggunaan pengangkutan awam juga tidak digalakkan dan orang ramai perlu memakai penutup mulut termasuk di kawasan awam yang tertutup.

Ekonomi Itali, yang ketiga terbesar di zon Eropah, dijangka mengalami penyusutan paling teruk sejak kemelesetan global pada 1930.

Sementara itu, perintah berkurung selama beberapa minggu yang mengakibatkan lebih 30 juta rakyat AS kehilangan pekerjaan, turut menyaksikan populariti Presidennya, Donald Trump, turut merudum.

AS merekodkan jumlah kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 68,606 kes selain 1.18 juta jangkitan.

Trump bagaimanapun pada awalnya memandang enteng wabak itu dan meramalkan AS dapat mengatasinya tanpa kematian, sebelum bertukar nada memberi amaran Covid-19 bakal mengorbankan 60,000 nyawa.

Perkara itu diakui Trump sendiri ketika siaran langsung di televisyen semalam, selain turut mengakui jumlah itu mungkin meningkat jauh lebih tinggi.

“Kita mungkin kehilangan antara 75, 80 hingga 100,000 orang, ini adalah perkara yang teruk. Kita tidak seharusnya kehilangan seorang pun akibat wabak ini,” katanya.

Sementara itu, kehidupan di kebanyakan negara Asia dilihat mula kembali normal, dengan sekolah dibuka di ibu negara Vietnam, Hanoi, pada Isnin, selepas tiada jangkitan baharu direkodkan di negara itu untuk tempoh dua minggu.

Sementara itu, Portugal membenarkan kedai kecil, salun dan pengedar kenderaan memulakan perniagaan bermula hari ini, namun mengarahkan penggunaan penutup mula ketika berada di kedai serta menaiki pengangkutan awam.

Slovenia, Poland dan Hungary turut menyertai Jerman dengan membenarkan tempat awam dan premis perniagaan dibuka. – AFP