Pekerja Mesir merusuh, tuntut dihantar pulang

WARGANEGARA Kuwait tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, di selatan ibu kota Kuwait, setelah rancangan rapat untuk warga yang terkandas di luar negara disusun oleh pihak berkuasa, semasa krisis pandemik koronavirus. • Foto AFP

KUWAIT: Pihak berkuasa hari ini menyuraikan rusuhan oleh pekerja warga Mesir yang menuntut dihantar pulang, ketika dunia menghadapi ancaman pandemik Covid-19.

Rusuhan seumpamanya jarang sekali berlaku di negara Teluk yang melaksanakan undang-undang secara tegas itu, yang mana terdapat sejumlah besar pekerja warga asing.

Pasukan keselamatan mematahkan rusuhan dan kekecohan di kawasan perumahan warga asing serta menahan sejumlah suspek, mengikut laporan Kuwait News Agency (KUNA).

Semalam, KUNA memetik Duta Mesir ke Kuwait, Tareq al-Qooni, sebagai berkata warga Mesir di kem tahanan imigresen akan dihantar pulang minggu ini.

“Penerbangan pertama dikhususkan bagi wanita dan kanak-kanak yang kini ditempatkan di kawasan perumahan khas,” katanya.

Kuwait pula sebelum ini bersetuju membenarkan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen untuk meninggalkan negara Teluk itu tanpa perlu membayar denda atau tambang kapal terbang.

Jutaan warga asing di serata negara Teluk kini menghadapi ketidaktentuan kerana krisis Covid-19 berikutan ramai yang jatuh sakit atau tiada pekerjaan, tidak dibayar gaji dan dan menjadi majikan mangsa tidak berperikemanusiaan.

Kuwait setakat ini merekodkan lebih 5,000 kes jangkitan virus itu termasuk 40 kematian. – AFP