Dixie dan Daisy bangga sertai Jom Baca Bersama 2020

DIXIE Scarlet Devron, 8, (belakang) bersama adiknya Daisy Seanna Devron,6, tidak ketinggalan meluangkan masa menyertai Program Jom Baca Bersama 2020

Liong Chai Ling

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan ketika ini tidak menjadi penghalang kepada masyarakat menyertai program Jom Baca Bersama 2020 yang diadakan serentak di seluruh negara pada 23 April lalu.

Disebabkan PKP di seluruh negara susulan pandemik Covid-19, pendekatan bagi tahun ini adalah sedikit berbeza daripada sebelum ini.

Kali ini, masyarakat diajak mengambil bahagian dalam cabaran ini dengan merakam detik membaca buku kegemaran masing-masing di rumah dan melakukan aktiviti ini bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga atau orang tersayang di rumah.

Masyarakat boleh kongsikan detik ini dengan memuatnaik gambar dan video masing-masing di #jombacaswk2020.

Program tahunan nasional Jom Baca Bersama 2020 itu diadakan bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.

Ia merupakan ilham daripada Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan telah diadakan secara tahunan pada bulan April.

Program itu telah diadakan serentak bermula dari pukul 11 pagi hingga 11.10 pagi.

Seorang penjawat awam, Stephanie Janius,37, berkata, dia tidak melepaskan mengajak dua anak perempuannya, Dixie Scarlet Devron, 8, dan Daisy Seanna Devron, 6, menyahut cabaran program jom membaca itu.

Katanya, program tersebut amat baik untuk mengisi masa lapang anak-anaknya dengan aktiviti bermanfaat lebih-lebih lagi ketika PKP ini.

“Selepas membaca buku kami sekeluarga dapat mengulas buku yang dibaca bersama-sama.

“Inilah peluang kepada anak-anak untuk mengisi masa sepanjang tempoh PKP dengan aktiviti berfaedah dan bermaklumat,” katanya.