Pemberian vaksin dimuktamadkan Khamis ini

TUNJAUAN… Khairy Jamaluddin (tengah) bertanya sesuatu kepada penduduk yang telah selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis cansino sewaktu meninjau pelaksanaan aktiviti outreach pemberian vaksin kepada penduduk di Pulau Larapan semalam. • Foto BERNAMA

SEMPORNA:  Keputusan mengenai pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah akan dimuktamadkan pada satu mesyuarat penyelarasan melibatkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Khamis ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebaik keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat itu, ia akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.

“Saya ada mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.

“Apa pun kita akan buat keputusan muktamad selepas mesyuarat,” katanya, kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di Pulau Larapan dekat sini semalam.

Beliau berkata, selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran Covid-19 yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu, bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.

Mengenai situasi Sarawak yang semalam mencatat kes baharu Covid-19 tertinggi dengan 3,714 kes dengan kadar vaksinasi di negeri itu mencapai 80 peratus, Khairy berkata, 99 peratus kes merupakan pesakit yang berada dalam kategori satu dan dua.

“Hanya empat pesakit berada di kategori tiga, empat dan lima, (kes di Sarawak) ini menunjukkan kita dalam fasa melaksanakan peralihan kepada endemik, seolah kita hidup dengan virus ini, masih lagi ada jangkitan tetapi kesannnya tidak teruk sangat dengan batuk dan demam ringan sahaja,” katanya.

— Bernama