BKSS untuk komuniti peniaga

SIDANG MEDIA… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bercakap pada sidang media berhubung Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk komuniti peniaga melalui siaran langsung Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semalam.

KUCHING: Setakat 31 Ogos sebanyak RM4.73 juta anggaran jumlah subsidi kadar faedah untuk tiga setengah tahun bagi Skim Kredit Mikro Sarawak untuk usahawan B40, Pengusaha Mikro dan Kecil.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, RM50 juta sudah diterima dan baki RM50 juta akan disalurkan secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, skim ini menawarkan pinjaman sehingga maksimum RM50,000 dengan kadar faedah empat peratus berdasarkan baki bulanan berkurangan dan ia terbuka kepada semua usahawan Sarawak tanpa mengira latar belakang.

“SKMS tidak memerlukan penjamin dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya permit perniagaan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau agensi berkaitan. Permohonan boleh dikemukakan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) dan Agrobank.

“Setakat ini, kesemua 1,463 peminjam yang diluluskan di bawah SKMS sedang menikmati subsidi kadar faedah bagi tempoh tiga setengah tahun (3.5 tahun).

“Dalam masa yang sama, permohonan baru yang diluluskan sehingga 31 Disember 2021 layak menikmati bantuan subsidi faedah selama 3.5 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk komuniti peniaga melalui siaran langsung Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semalam.

Tambah Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, jumlah permohonan yang diterima adalah 1,879 dari usahawan B40, Pengusaha Mikro dan Kecil.

“Daripada 1,879 permohonan yang diterima sebanyak 1,463 permohonan yang diluluskan iaitu dengan jumlah kelulusan sebanyak RM48 juta.

“Manakala anggaran jumlah subsidi kadar faedah untuk 3.5 tahun (setakat 31 Ogos 2021) iaitu sebanyak RM4.73 juta.

Sementara itu, Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) bagi PKS Bumiputera peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta akan disalurkan secara berperingkat-peringkat.

“Sebanyak 452 permohonan yang diterima. Setakat ini, kesemua 411 peminjam yang diluluskan di bawah SPIKS dengan jumlah keseluruhan RM30.13 juta.

“Bagi permohonan baru yang diluluskan sehingga 31 Disember 2021, peminjam adalah layak menikmati bantuan subsidi faedah (interest subsidy) selama 3.5 tahun,” katanya.

Katanya, di bawah program graduan ke arah keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional USTEV seramai 652 graduan dan belia berkemahiran teknikal layak untuk mendapat geran bernilai sehingga maksimum RM20,000 untuk memula dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Ini adalah untuk memudahkan para graduan dan belia mengemukakan permohonan bagi kedua-dua program ini, pihak Kementerian telah menyediakan permohonan secara atas talian dan manual.

“Seramai 264 permohonan untuk GERAK dan 388 permohonan untuk (USTEV),” katanya.

Tegasnya, kementerian akan sentiasa meneliti keberkesanan inisiatif-inisiatif BKSS dan berharap agar bantuan-bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak akan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat termasuklah golongan usahawan ketika pandemik Covid-19 ini.

“Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak sangat prihatin dan mengambil kira pendapat-pendapat yang dikemukakan dalam menyediakan bantuan-bantuan yang diperlukan oleh rakyat dan juga untuk menyediakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030.

“Bagaimanapun, semua skim kewangan ini untuk memberi bantuan sementara kepada pengusaha dan komuniti perniagaan. Penyelesaian jangka panjang adalah dengan perlahan-lahan membuka ekonomi supaya komuniti perniagaan dapat memulakan operasi perniagaan mereka dan mempunyai pendapatan.

“Oleh yang demikian, kepatuhan rakyat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah penting untuk menjamin kita beralih ke fasa-fasa seterusnya yang membolehkan kita menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial seperti biasa.

Oleh JEAKQLEYN YACHO