RTK Antigen Covid-19 ada di farmasi

PEGAWAI KPDNHEP Cawangan Sri Aman sedang melakukan pemantauan harga bekalan RTK Antigen Covid-19 yang terdapat di pasaran sekitar Betong dan Sri Aman.

SRI AMAN: Bekalan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 (ujian sendiri) yang terdapat di pasaran sekitar Betong dan Sri Aman adalah sangat terhad.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak berkata, sebanyak 956 set RTK yang tiba di farmasi sekitar Sri Aman manakala 1,020 set di farmasi sekitar Betong pada awal bulan September dengan harga jualan mencecah RM19.90 setiap set.

Menurut beliau, farmasi tempatan di sini tidak mempunyai masalah untuk mematuhi harga yang telah diwartakan RM19.90 setiap set yang telah berkuatkuasa pada 5 September lalu.

Al Redzamani menjelaskan sebelum bulan September bekalan RTK Antigen Covid-19 telah berada di semua farmasi di sini, sementara stok antara 1,000 hingga 1,500 set dijangka tiba dalam tempoh dua atau tiga hari berdasarkan pesanan mereka.

“Difahamkan bahawa pembekal atau pemborong dan farmasi sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan harga yang telah diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media Selasa lalu.

Al Redzamani mendedahkan bahawa Kementerian mula memeriksa penawaran dan harga RTK Antigen Covid-19 di sini sejak 15 Ogos.

“Kementerian mendapati bahawa terdapat empat jenama RTK Antigen Covid-19 yang tersedia di pasaran iaitu, Alltest Covid-19 Antigen, Beright Covid-19 Antigen yang masing-masing dijual mengikut harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan penetapan harga berkenaan.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini.

“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” ujarnya.

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245, 6088 atau Whatsapp ke 019- 279 4317.

Oleh ADI SAFARMAN