Lapor gangguan seksual kepada pihak berkuasa

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima Selvaraju Kanniappen pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di Sungai Pelek, semalam. • Foto BERNAMA

SEPANG: Mangsa gangguan seksual digesa supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah gangguan seksual dikuatkuasakan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, RUU tersebut bukan membabitkan pindaan, sebaliknya adalah RUU baharu yang mengambil masa untuk digubal dan melibatkan banyak kementerian serta drafnya kini sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

“Sekiranya ada berlaku gangguan seksual, segera lapor kepada pihak berkuasa atau Talian Kasih 15999. Tak perlu tunggu RUU dibentangkan. Negara kita ada undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di tiga buah rumah di sekitar Sungai Pelek, di sini semalam.

Rina berkata demikian ketika mengulas desakan pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mempercepatkan pembentangan RUU berkenaan, berikutan peningkatan kes gangguan seksual membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Menurut laporan media, pembentangan RUU itu dijadualkan pada tahun lepas.- Bernama