Pelbagai strategi dirangka perkasa sektor agrikomoditi lada

DATUK Zuraida Kamaruddin (tengah) mendengar penerangan daripada Vincent Chong, Pengarah Syarikat MUSC Food Industries Sdn Bhd.

KUCHING: Sektor agro komoditi lada adalah subsektor agrikomoditi yang berpotensi besar dan mesti terus dibangunkan bagi memberi manfaat khususnya kepada pekebun kecil meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, lawatannya semalam adalah bertujuan memastikan dasar dan hala tuju subsektor ini terus berada pada landasannya.

“Sebagai penyumbang terpenting kepada pembangunan ekonomi luar bandar membabitkan seramai 36,689 pekebun kecil dengan 7,718 hektar keluasan tanaman di seluruh negara terutamanya di Sarawak.

“Kerjasama serantau harus diteroka berikutan senario industri lada di peringkat global memperlihatkan trend positif berdasarkan harga lada di pasaran semasa serta permintaan dan penawaran yang berpotensi besar untuk berkembang maju,” katanya ketika membuat lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB), semalam.

Sementara itu, Lembaga Lada Malaysia (MPB) berkata, MPB juga mengorak langkah dengan mewujudkan aktiviti kawal selia pasaran yang bertujuan untuk memastikan perniagaan lada dijalankan mengikut undang-undang.

Di samping itu, memastikan jaminan terhadap kualiti produknya yang dieksport mematuhi gred yang dipersetujui untuk memelihara prestij dan reputasi lada Malaysia agar lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.

“Selain itu, penubuhan anak syarikat Saraspice Sdn. Bhd. yang bakal beroperasi sepenuhnya Oktober 2021 dapat memperkukuhkan lagi kedudukan sektor industri lada di pelbagai peringkat dengan menjadi pembekal unggul lada Sarawak yang berkualiti tinggi dan lestari kepada pelanggan di seluruh dunia serta lebih berdaya saing dalam memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.

“Justeru dengan pelbagai perkembangan positif ini termasuk trend kenaikan harga lada dunia sejak tahun lalu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap ia akan terus berkembang kukuh di Malaysia,” katanya.

Oleh JEAKQLEYN YACHO