Tiada varian Mu dikesan di Thailand

PETUGAS kesihatan melakukan ujian saringan ke atas penjual vendor dan pekerja di pasar Simummuang di Rangsit, Pathum Thani. Ujian saringan akan dilakukan setiap minggu untuk memastikan penduduk bebas Covid-19. • Foto AFP

BANGKOK: Kementerian Kesihatan Thailand memaklumkan bahawa rakyat negara itu tidak perlu berasa panik dengan varian terbaharu Covid-19 yang dikenali sebagai Mu kerana tiada kes yang dikaitkan dengannya setakat ini, lapor akhbar Bangkok Post, semalam.

Ketua Bahagian Sains Perubatan, Dr. Supakit Sirilak berkata, setakat ini, pihak berkuasa kesihatan tempatan belum menemui mana-mana jangkitan varian Mu dan Delta masih merupakan varian utama yang menyumbang kepada jangkitan kes.

Tambah beliau, varian Mu menyumbang kurang 0.1 peratus dalam kes Covid-19 dunia dan hanya ditemui di 39 negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Britain buat masa sekarang.

Selain itu, varian baharu yang dikesan di Afrika Selatan iaitu C.1.2 minggu lalu juga tidak dikesan di Thailand.

“Kedua-dua varian tidak memiliki bukti yang disahkan berkenaan kemampuan ia  ditularkan lebih pantas atau mengurangkan keberkesanan vaksin,

“Jadi rakyat tidak perlu panik kerana pihak kementerian akan memantau kewujudan varian-varian ini dengan teliti,” tegas Supakit. – AFP