MISI KEMENANGAN MUTLAK

KAWAL… Kapten Sarawak United, Taylor Regan cuba menghalang pergerakan yang dilakukan oleh penyerang Kuching City FC Jospeh Kalang Tie pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor tempoh hari.

KETUA jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan yakin pasukan kendaliannya itu mampu bangkit meraih kemenangan mutlak dalam baki dua perlawanan Liga Premier selepas ini.

Sarawak United dalam aksi penting di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang petang Selasa lalu, gagal melebarkan jurang di persada Liga Premier, apabila dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Kuching City FC.

Dalam aksi itu, meskipun memiliki beberapa peluang terbaik untuk membuka jaringan pada babak pertama, namun ketumpulan jentera serangan Sarawak United menidakkan hasrat untuk mendahului perlawanan.

Skrip yang sama berlaku pada babak kedua dengan Sarawak United kerap menggasak kubu Kuching City bagi mencari jaringan penyamaan namun sekali lagi dihampakan penyudahan yang lemah.

Elavarasan yang tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya dengan deretan peluang terhidang, gagal dimanfaatkan oleh barisan pemainnya sehingga menyebabkan pasukannya tewas kepada tuan rumah pada perlawanan ‘Derby Kenyalang’ itu.

Tegasnya, hanya jaringan gol yang mampu memberikan kemenangan namun ia gagal diterjemahkan barisan pemainnya walaupun memiliki peluang diseparuh masa pertama dan kedua.

“Pada awal permainan nampak bermain dengan bagus. Kita mendapat banyak peluang pada babak pertama tetapi gagal menyambar sebarang gol,” jelasnya selepas perlawanan itu.

Elavarasan turut menyatakan bahawa gol kemenangan yang dijaringkan oleh pasukan lawan itu diakui berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan Sarawak United.

“Gol yang kita kena itu adalah nasib… dan kita pun ada peluang pada babak kedua,” ujarnya.

Katanya lagi, sepanjang perlawanan memperlihatkan anak-anak buahnya beraksi konsisten dan deretan lima hingga enam peluang untuk menghasilkan gol.

Bagaimanapun katanya, meskipun nampak ‘tertekan,’ dengan cuaca panas, para pemain Sarawak United masih mampu memberikan saingan dan melancarkan beberapa cubaan bagi menghasilkan jaringan.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pemain dan mengakui skuadnya sudah melakukan usaha terbaik dalam aksi itu dan menganggap tuah tidak menyebelahi mereka.

Pada masa sama Elavarasan menganggap kekalahan ini sebagai satu ujian dan beliau turut yakin skuadnya mampu bangkit dengan rentak permainan terbaik pada dua baki perlawanan Liga Premier selepas ini.

“Sarawak United ada dua baki perlawanan penting selepas ini, kita tidak boleh mudah berputus asa dan kita cuba untuk bangkit dengan kemenangan selepas ini.

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan apa yang perlu kita lakukan adalah bangkit di perlawanan seterusnya.” tegasnya.

Mengulas lanjut berkenaan pengaruh cuaca panas kepada prestasi pasukannya, Elavarasan enggan menyalahkan faktor cuaca sambil memuji corak permainan Kuching City yang dilihat lebih bersemangat.

“Cuaca bukanlah satu alasan mengapa pasukan kita tewas kerana kita kali terakhir bermain pada sebelah petang menentang Selangor II, baru-baru ini. Kita kena terima keputusan ini,” tambahnya.

Beliau turut menganggap segala kemungkinan boleh berlaku dalam baki dua lagi perlawanan yang boleh menyekat misi mereka untuk menjulang trofi Liga Premier musim ini.

Sarawak United kini di kedudukan teratas Liga Premier dan mampu mengesahkan kejuaraan jika menang menentang Negeri Sembilan pada malam esok di Stadium Kuala Lumpur Cheras.

Oleh ADI SAFARMAN