Tewas di lubuk sendiri

PEMAIN tengah Australia, Jackson Irvine (tengah) mengawal bola di sebelah pemain tengah Vietnam,Quang Hai Nguyen (dua, kanan) semasa perlawanan Kumpulan B pusingan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 zon Asia di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi. • Foto AFP

AUSTRALIA berjaya mengalahkan Vietnam 1-0 dalam perlawanan peringkat  kumpulan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 semalam untuk menjadi negara AFC pertama yang memenangi 10 perlawanan kelayakan Piala Dunia berturut-turut.

Kemenangan Australia, hasil jaringan kemenangan Rhyan Grant dalam separuh masa pertama, membolehkan Socceroos mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan dalam Kumpulan B.

Beraksi dalam stadium kosong di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi kerana sekatan Covid-19, Australia bergelut bagi merobek pertahanan berdisiplin Vietnam sebelum tandukan Grant pada minit ke-43 hasil umpanan silang Ajdin Hrustic berjaya memecah kebuntuan.

Itu adalah gol antarabangsa pertama Grant dan menamatkan rentak 17 aksi berturut-turut tanpa kalah Vietnam di tempat sendiri.

Australia mengalahkan China 3-0 di Doha minggu lalu dan kemenangan semalam bermaksud mereka memperoleh 10 kemenangan sempurna daripada 10 perlawanan bermula dengan pusingan pertama kelayakan.

Dalam perlawanan lewat semalam, Iran mengesahkan kemenangan 3-0 ke atas Iraq di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.

Iran mencipta jaringan menerusi Alireza Jahanbaksh pada minit kedua sebelum Mehdi Taremi dan Ali Gholizadeh masing-masing menjaringkan satu gol dalam babak kedua untuk mengesahkan kemenangan.

Arab Saudi yang berusaha untuk membuat penampilan kedua berturut-turut dalam pusingan akhir meraih kemenangan kedua mereka, mengalahkan Oman 1-0 di Muscat dengan jaringan Saleh al-Shehri pada minit ke-42 terbukti menjadi penentu.

Kedua-dua pasukan segar daripada kemenangan perlawanan pembukaan mereka tetapi gagal mempamerkan persembahan menarik di Stadium Sultan Qaboos.

Namun, Arab Saudi, yang mengalahkan Vietnam minggu lalu mendahului dengan gaya menarik.

Fahad al-Muwallad menolak bola ke belakang hasil hantaran jauh Salman Faraj kepada al-Shehri yang meledakkan percubaan rendah untuk menewaskan penjaga gol Oman, Faiyz al-Rusheidi. – AFP