MAVCOM luluskan penggabungan syarikat penerbangan Korea

Asiana Airlines menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat dipulihkan, justeru ia memerlukan penggabungan. Selepas mengkaji permohonan tersebut secara menyeluruh,
MAVCOM memutuskan bahawa penggabungan itu tidak melanggar seksyen 54 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], melarang sebarang penggabungan yang
mengakibatkan pengurangan persaingan (SLC) industri penerbangan yang ketara. • Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) semalam mengumumkan bahawa ia telah meluluskan penggabungan antara Korean Air Lines Co, Ltd (Korean Air Lines) dan Asiana Airlines, Inc (Asiana Airlines).

Disebabkan penggabungan itu melibatkan perkhidmatan penumpang antara Korea Selatan dan Malaysia, Korean Air Lines dan Asiana Airlines menyerahkan pemberitahuan secara sukarela dan permohonan mengenai penggabungan itu kepada MAVCOM pada 19 Mac 2021.

MAVCOM mengambil maklum bahawa penggabungan berkenaan bertujuan menyelamatkan syarikat penerbangan tersebut.

“Asiana Airlines menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat dipulihkan, justeru ia memerlukan penggabungan.

“Selepas mengkaji permohonan tersebut secara menyeluruh, MAVCOM memutuskan bahawa penggabungan itu tidak melanggar seksyen 54 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], melarang sebarang penggabungan yang mengakibatkan pengurangan persaingan (SLC) industri penerbangan yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

MAVCOM berkata, keputusan itu adalah kes penggabungan berkaitan persaingan pertama akan dianalisis oleh mana-mana pihak berkuasa yang menguruskan persaingan atau pengawal selia di Malaysia.

“Sebagai satu-satunya pengawal selia di Malaysia berperanan memutuskan perkara berkaitan persaingan untuk rancangan penggabungan dan penggabungan, penggabungan diluluskan MAVCOM antara Korean Air Lines dan Asiana Airlines ini dibuat selepas mempertimbangkan sepenuhnya maklumat dan maklum balas yang disampaikan oleh semua pihak termasuk pasukan penyelidik dan penganalisis MAVCOM sendiri,” kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Keputusan penggabungan itu menekankan bahawa Bahagian VII: Akta Persaingan 771 setaraf dengan piawaian antarabangsa untuk undang-undang persaingan serta kemampuan MAVCOM untuk melakukan kerja-kerja analisis mengenai persaingan yang relevan untuk penggabungan dalam memastikan perlindungan dan pembangunan sektor penerbangan Malaysia yang berterusan, katanya.

Dalam keputusan muktamadnya, suruhanjaya itu berkata, bahagian pasaran Korean Air Lines dan Asiana Airlines bagi penerbangan langsung antara Seoul (Korea Selatan) dan Kota Kinabalu (Malaysia) akan lebih tinggi, penggabungan itu tidak akan menyebabkan kesan kepada satu pihak sahaja atau bertindak sebagai penghalang kepada kemasukan dan pengembangan pasaran yang berkaitan.

Selain itu, MAVCOM berkata, penumpang dapat menggunakan kuasa pembeli terhadap syarikat penerbangan itu kerana pertambahan agensi pelancongan dalam talian dan peraturan ketat oleh Kementerian Darat, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan (MOLIT) yang menghalang pihak penggabungan daripada menaikkan harga secara signifikan.

Penggabungan itu akan menghasilkan kecekapan ekonomi dan faedah sosial yang signifikan seperti peningkatan keselamatan, pengurangan kos latihan serta kecekapan yang berkaitan dengan penyelenggaraan dan pembaikan, katanya.

Keputusan muktamad mengenai permohonan penggabungan yang diluluskan itu boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my– Bernama