Kedudukan belum selesa

PEMAIN tengah Kuching City, Mohamad Aliff Hassan menjadi wira buat pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 tempoh hari.

PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menganggap kemenangan bermakna ketika menentang Sarawak United FC 1-0 itu belum lagi meletakkan mereka di kedudukan selesa untuk meraih slot ke Piala Malaysia meskipun masih mempunyai baki empat perlawanan.

Kuching City ketika ini berada di tangga kelapan Liga Premier dengan 21 mata dan perlu untuk menang atau sekurang-kurangnya seri dengan Kelantan United FC bagi layak ke kejohanan berprestij itu pada musim ini.

“Alhamdulillah ini adalah kemenangan manis untuk pasukan kami walaupun saya tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama dalam perlawanan ini.

“Cuma peluang untuk layak ke Piala Malaysia masih belum selamat lagi, kita kena menang dengan Kelantan United atau seri dan sekarang kita dapat rehat lebih lama sikit untuk bersedia pada Sabtu ini (esok),” katanya.

Pada aksi menentang pendahulu Liga Premier itu, Irfan berkata beliau tidak dapat menurunkan tiga pemain utamanya, tetapi pemain muda kelahiran Sarawak telah menunjukkan semangat dan kehendak mahu mengisi kekosongan tersebut.

“Walaupun saya tidak dapat menurunkan tiga pemain utama, namun saya dapat menurunkan anak-anak jati Sarawak. Itu yang penting,” ujarnya.

Irfan turut membuat perbandingan dari segi pemainnya dengan Sarawak United yang mana beliau menerangkan bahawa hampir separuh pemain pasukannya yang diturunkan ketika menentang Sarawak United terdiri daripada anak jati Bumi Kenyalang.

“Ini berbeza dengan Sarawak United yang hanya menurunkan dua pemain anak jati Sarawak dengan pasukan tersebut memulakan perlawanan dengan hanya seorang.

“Kami pula memasukkan semua anak Sarawak sebagai pemain gantian,” jelasnya lagi.

Dengan kekalahan itu menyebabkan Sarawak United menempah laluan yang berisiko untuk kejuaraan Liga Premier apabila bakal berdepan dengan pencabar kejuaraan, Negeri Sembilan FC dalam aksi seterusnya hari ini di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.

Dengan berbaki dua perlawanan bagi musim ini, Sarawak United FC menduduki tempat teratas carta dengan 37 mata selepas 18 perlawanan setakat ini, kelebihan dua mata berbanding Negeri Sembilan (35 mata).

Sementara itu, Kuching City yang baharu melengkapkan 16 perlawanan setakat ini, menduduki tempat kelapan dengan 21 mata.

Oleh ADI SAFARMAN