RM1 juta naik taraf jalan diluluskan

PECAH TANAH… Datuk Willie Mongin ketika majlis pecah tanah bagi projek melebar dan menaik taraf jalan dari kampung Sungai Riset ke Skuduk dan Chupak di bawah Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), baru-baru ini.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1 juta bagi projek melebar dan menaik taraf jalan dari kampung Sungai Riset ke Skuduk dan Chupak di bawah projek Jalan Perhubungan Desa (JPD).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin ketika berucap semasa majlis pecah tanah tersebut baru-baru ini memberitahu projek tersebut dipertanggungjawabkan kepada dua buah syarikat iaitu Pembinaan Metdia Sdn Bhd dan Goldquest Works.

“Kita amat bersyukur kerana pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah meluluskan permohonan ini demi kelangsungan rakyat.

“Saya akan terus berganding bahu bersama Yang Berhormat Datuk Roland Sagah untuk terus membawa kemajuan di Dun Tarat dan Parlimen Puncak Borneo,” katanya.

Dalam pada itu, Willie berkata projek tersebut akan memberi keselesaan kepada masyarakat pengguna khasnya di ketiga-tiga kampung berkenaan setelah ia selesai dibina.

Majlis pecah tanah tersebut turut dihadiri oleh Jurutera Bahagian Pengairan dan Saliran Jabatan Kerja Raya Bahagian Serian, Rolin Jenta Gem, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Siburan Serian, Ranum Bari, ketua kampung dari Kampung Skuduk, Kampung Chupak, Kampung Plaman Payang, Timbalan Ketua Kaum Kampung Sungai, ahli-ahli Majlis Perbandaran dan Daerah, ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pegawai-pegawai Pusat Khidmat Rakyat.

Oleh RYNNA SHA’ERRA