Boleh pilih untuk tidak hantar anak ke sekolah

MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bercakap pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah di Auditorium Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, semalam.• Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman Covid-19 apabila sesi persekolahan bersemuka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Oktober ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan kepada pelajar.

“Namun ibu bapa diminta untuk menulis surat bagi memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah di sini, semalam.

Semalam Radzi mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dan turut akan memperkenalkan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pemakaian pakaian seragam sekolah adalah tidak diwajibkan dan murid dibenarkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian, kemas dan sopan sekiranya pakaian seragam sekolah sudah tidak sesuai untuk dipakai.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baharu…matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya.

Dalam Fasa Tiga PPN, pembukaan sekolah diperluaskan kepada murid prasekolah dan tadika swasta yang boleh hadir tanpa penggiliran, manakala sekolah menengah turut melibatkan murid kelas peperiksaan awam di asrama penuh (tanpa penggiliran) dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian atau swasta yang dibenarkan secara penggiliran.

“Bagi Fasa Empat PPN pula, murid sekolah rendah iaitu Tahap Satu (Tahun 1,2,3) dibenarkan hadir secara penggiliran bermula 17 Oktober dan murid Tahap Dua (Tahun 4,5,6) dibenarkan juga secara penggiliran bermula 31 Okt.

“Bermula 17 Oktober juga, murid kelas peperiksaan awam, Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah asrama penuh dibenarkan hadir tanpa penggiliran manakala murid tingkatan sama bagi sekolah harian dan swasta hadir secara penggiliran sementara kelas peralihan dan Tingkatan Satu serta Dua adalah secara PdPR,” katanya.

Mengenai pembukaan kolej vokasional, Radzi berkata ia akan dibuka bermula Fasa Dua PPN dan kehadiran pelajar akan dibahagi secara penggiliran mengikut peperiksaan berdasarkan semester masing-masing.

Berkaitan Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi, kaedah PdPR akan dilaksanakan pada Fasa Satu dan Fasa Dua PPN, sementara pada Fasa Tiga dan Fasa Empat PPN, pelajar yang lengkap divaksin diberi pilihan untuk hadir ke kampus manakala yang belum divaksin akan meneruskan kaedah PdPR.

Selain itu, Radzi berkata institut pendidikan swasta (IPS) kategori pusat akan beroperasi secara PdPR pada Fasa Satu dan Fasa Dua PPN, sementara pada Fasa Tiga PPN, IPS bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun beroperasi sepenuhnya dan IPS kategori pusat beroperasi secara penggiliran dengan 50 peratus kapasiti kelas.

Pada Fasa Empat PPN pula, operasi secara penggiliran akan ditingkatkan kepada 70 peratus kapasiti kelas bermula 17 Oktober manakala operasi secara kapasiti penuh dengan penjarakan fizikal dibenarkan mulai 31 Oktober. 

Mengenai sekolah dan institut pendidikan di bawah kementerian yang terletak di lokasi  gelembung perjalanan, beliau berkata pembukaan sekolah adalah mengikut Fasa Empat PPN.

Buat masa ini, negeri-negeri yang diletakkan di bawah Fasa Satu PPN ialah Kedah dan Johor, Fasa Dua (Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sabah), Fasa Tiga (Perlis, Negeri Sembilan, Sarawak) dan Fasa Empat ialah Labuan.  – Bernama