Koko sumbang RM1.64 bilion kepada KDNK tahun lepas

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mendengar penerangan berkenaan teknologi buah Koko ketika mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko (PPBK) di Kota Kinabalu Sabah, kelmarin. • Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Hasil koko menyumbang sejumlah RM1.64 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding RM1.56 bilion bagi tahun sebelumnya.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata, subsektor koko juga secara khusus telah menyumbang sebanyak RM6.23 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun lepas.

“Sektor agrikomoditi, termasuk koko merupakan antara penyumbang utama pendapatan eksport negara.

“Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang membangunkan program-program bagi menghasilkan biji koko berkualiti tinggi dan berperisa unggul selain membangunkan sistem pengesanan bagi menyokong pengeluaran biji koko.

“Malah, biji-biji koko ini boleh dipasarkan pada harga tinggi mencecah RM15 sekilogram,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena lawatan kerja Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin ke LKM di sini, baru-baru ini.

Menurut KPPK, permintaan biji koko premium oleh pengusaha coklat juga semakin meningkat dengan terdapat sebanyak lapan pengusaha artisan coklat ‘single origin’ atau sumber tunggal di seluruh negara pada masa ini.

Selain itu, LKM juga sedang melaksanakan Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko sebagai pemangkin untuk kemampanan pengeluaran koko tempatan dengan berteraskan konsep ‘Farm to Table’ (Dari Ladang ke Meja Makan).

“KPPK yakin pasaran dan permintaan produk koko dapat dipertingkatkan ke lebih banyak negara melalui program berimpak seperti ini,” katanya.

Program tersebut disasarkan kepada kumpulan pekebun kecil yang secara tradisionalnya terlibat di sektor huluan dengan aspek infrastruktur dibangunkan bagi kemudahan pemprosesan biji koko yang dikeluarkan.

“Di Sabah, pusat pengumpulan dan pemprosesan biji koko terkini sedang dibina di Kampong Napong, Ranau dan dijangka siap pada akhir tahun depan.”

Menurut kementerian itu, selain aktiviti pengeluaran dan perdagangan, pekebun kecil koko juga disyorkan untuk menceburi bidang agripelancongan.- Bernama