PEMBANGUNAN LESTARI DIUTAMAKAN

TERIMA KASIH… Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Peggy Ronin Edin (tiga, kiri) menyerahkan cenderamata kepada Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Majlis Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) Ke-9 di Kuching, semalam.

KUCHING: Pembangunan lestari sentiasa menjadi agenda keutamaan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu Kerajaan Sarawak amat komited bagi mencapai keseimbangan antara keperluan pembangunan dan menjaga kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019 telah memungkinkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memperkuat mekanisme pengawalseliaan pengurusan sumber asli secara lestari dan perlindungan kualiti alam sekitar di Sarawak.

“Dengan pindaan itu, aktiviti pembakaran terbuka di tanah adat (NCL) untuk tujuan komersial kini dikawal selia bagi memastikan pelaksanaan projek-projek transformasi sosio-ekonomi dan program di negeri ini dijalankan secara mampan.

“Ia juga telah dipinda untuk meningkatkan penalti kepada RM100,000 bagi semua kesalahan alam sekitar terhadap pencemaran tanah, pencemaran air pedalaman dan pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) Ke-9, semalam.

Abang Johari berkata, pindaan Ordinan tersebut merangkumi pengkategorian kakitangan NREB untuk menjadi pegawai awam dalam maksud Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974 bagi membolehkan pemindahan kuasa penguatkuasaan dari Jabatan Alam Sekitar Persekutuan Malaysia.

Jelas beliau lagi, penyemakan ini perlu bagi Sarawak untuk membuat persiapan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu pemindahan autonomi dalam menerima tanggungjawab tambahan bagi menguruskan hal-hal persekitaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling Persekutuan 1974 yang ada sekarang.

“Ini merupakan satu lagi kejayaan dalam rundingan MA63 yang mana Sarawak mempunyai kawalan sepenuhnya dalam menguruskan hal-hal alam sekitar.

“Minggu lalu, kita telah menjalankan kawalan sepenuhnya terhadap pengedaran gas di bawah perundingan autonomi industri minyak dan gas. Maknanya kita sudah berjaya mendapatkan dua dari Kuala Lumpur kembali ke Sarawak,” katanya.

Dalam hal ini, Abang Johari mendesak NREB untuk lebih siap dan merancang strategi bagi  menentukan arahnya selama sepuluh tahun ke hadapan.

“Perancangan hendaklah berkaitan dengan sumber daya yang memadai dan tenaga kerja yang kompeten, disokong oleh perundangan, peraturan, panduan dan peraturan yang efektif serta dapat disesuaikan dengan dilengkapi sistem canggih teknologi dalam usaha memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan.

“Oleh itu, semua sektor industri, kerajaan, dan masyarakat setempat harus memberikan sokongan dan bekerjasama untuk memastikan bahawa setiap orang saling melengkapi usaha dalam menjaga persekitaran demi kepentingan generasi sekarang dan akan datang,”tambahnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Len Talif Salleh.

Oleh JEAKQLEYN YACHO