Mengenang Penubuhan Malaysia

DR SUFFIAN MANSOR

SALAH satu peristiwa sejarah yang kita sering rayakan adalah penubuhan Malaysia.  Oleh kerana peristiwa itu telah berlalu selama 58 tahun lalu maka elok diingatkan semula tentang penubuhan Malaysia. Ini kerana proses penubuhan Malaysia sebenarnya satu proses cukup mencabar dengan pelbagai babak-babak yang mendebarkan untuk merealisasikan rancangan Malaysia.

Idea penubuhan gabungan wilayah Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu bukan satu yang baharu.  Ia telah dicadang sejak awal lagi.  Pengarah Syarikat Borneo Utara British, Lord Brassey pernah menyuarakan idea ini pada tahun 1887.  Seterusnya pada tahun 1938 pemimpin Tanah Melayu iaitu Ibrahim Haji Yaakob dan Harun Aminurrashid mencadangkan pembentukan sebuah persekutuan lebih besar merangkumi keseluruhan Kepulauan Melayu yang dinamakan sebagai Melayu Raya.

Idea ini dibangkitkan lagi semasa Perang Dunia Kedua apabila British merangka satu rancangan besar untuk masa depan Tanah Melayu dan wilyah-wilayah utara Borneo dalam Malayan Union.  Cadangan ini juga tidak dilaksanakan apabila hanya menumpukan penyatuan negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu. Pada tahun 1951 pula Persuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara, Malcolm MacDonald pula mengutarakan hal yang sama.

Pengumuman

Langkah lebih jitu berlaku apabila pada 27 Mei 1961 Tengku Abdul Rahman mengumumkan rancangan Malaysia untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei.

Reaksi pemimpin Sarawak dan Sabah  ketika itu agak curiga tentang rancangan ini.  Setengah pemimpin mahukan agar penyatuan antara Brunei, Sarawak dan Sabah disatukan dahulu.  Ada pula menentang keras usaha untuk menyerahkan Sarawak kepada kuasa asing yang lain.

Melihat sikap negatif dalam kalangan pemimpin Sarawak maka Tengku telah mengadakan lawatan ke Sarawak bagi memberi penerangan kepada pemimpin tempatan tentang rancangan Malaysia.  Pada Julai 1961 itu juga Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel di Singapura diadakan.  Di sana pemimpin Sarawak termasuk Sabah mula bertemu dengan pemimpin Tanah Melayu dan Singapura yang mana mereka diberi penerangan kepada rancangan Malaysia ini.

Akhirnya satu persatu pemimpin Sarawak dan Sabah menyokong rancangan Malaysia.  Salah seorang pemimpin Sarawak terawal menyokong Malaysia ini ialah Abang Mustapha.  Beliau melihat pembentukan Malaysia lebih memberi kebaikan kepada Sarawak daripada membentuk pergabungan Sarawak, Sabah dan Brunei.  Hanya beberapa pemimpin kedua-dua negeri ini sahaja tidak menyokong Malaysia dan mahukan kemerdekaan dahulu sebelum pembentukan Malaysia.

Langkah Menjayakan

Apabila majoriti pemimpin Sarawak menyokong rancangan Malaysia maka ditubuhkan Jawatankuasa Setia Kawan Malaysia (JSKM).  Penubuhan JSKM merupakan satu badan untuk mengumpul pemimpin Brunei, Sarawak, Sabah, Singapura dan Tanah Melayu untuk berbincang dan bersepakat untuk menubuhkan Malaysia.

Perbincangan JKSM ini diadakan sebanyak empat kali di setiap pusat kerajaan di Sarawak, Sabah, Singapura dan Tanah Melayu.   Perjumpaan pertama JKSM adalah di Kota Kinabalu. Manakala pada 18 Disember 1961 Kuching menjadi tempat kedua JKSM diadakan.  Seterusnya Kuala Lumpur, dan terakhir di Singapura.

Pada masa yang sama satu rundingan antara Tengku Abdul Rahman dengan kerajaan British telah diadakan di London pada 20 hingga 23 November 1961.  Rundingan itu membawa kepada persetujuan menubuhkan suruhanjaya siasatan.  Pada 16 Januari 1962 kedua-dua kerajaan iaitu Tanah Melayu dan Britain mengumumkan keahlian suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada Lord Cobbold selaku pengerusi bersama-sama dengan beberapa ahli lain iaitu Anthony Abell, David Watherston, Wong Pow Nee dan Muhammad Ghazali Shafie.  Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.

Kerajaan Sarawak ketika itu juga telah mengeluarkan kertas putih pada 4 Januari 1962 yang bertujuan untuk memberi penerangan  kepada rakyat Sarawak tentang konsep Malaysia dan juga membolehkan mereka memberi pendapat kepada suruhanjaya siasatan tersebut.  Kerajaan Sabah juga berbuat perkara sama dengan mengeluarkan kertas putih pada 31 Januari 1962.

Suruhanjaya tersebut tiba di Kuching pada 19 Februari 1962.  Suruhanjaya tersebut telah melakukan perjumpaan sebanyak 50 kali dengan penduduk kedua-dua negeri.  Perjumpaan ini melibatkan sebanyak 20 perjumpaan di beberapa tempat di Sarawak dan 15 di Sabah.  Suruhanjaya tersebut juga menerima sebanyak 2,200 pucuk surat dengan 1600 pucuk surat dari Sarawak dan 600 pucuk surat daripada Sabah.

Suruhanjaya tersebut menamatkan tugas mereka pada 18 April 1962.  Mereka menyiapkan laporan pada bulan Jun 1962.  Laporan itu menunjukkan bahawa 2/3 penduduk Sarawak dan Sabah bersetuju menyokong Malaysia iaitu ½ menyokong tanpa syarat dan ½ pula menyokong dengan syarat.  Manakala di Singapura pula diadakan pungutan suara untuk menentukan bentuk penyertaan Singapura dalam Malaysia kelak.

Langkah seterusnya adalah penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) bagi membincangkan perkara-perkara tentang hak Sarawak dan Sabah dalam perjanjian Malaysia dan perlembagaan Malaysia.  Hal ini termasuklah tentang pembahagian kerusi parlimen, hak kewagarnegaraan, hak imigresen, hak istimewa Bumiputera, pendidikan dan kebebasan beragama.

Merangka Hak Sarawak dan Sabah

JAK ini diketuai oleh Lord Lansdowne iaitu Setiausaha Tanah Jajahan British.  Timbalan beliau ialah Tun Abdul Razak iaitu Timbalan Perdana Menteri Tanah Melayu. Sementara itu wakil-wakil daripada Sarawak dan Sabah menjadi ahlinya. Bagi Sarawak wakil-wakil mereka diluluskan oleh Council Negri seperti Ketua Setiausaha, Peguam Negara, Setiausaha Kewangan, Datuk Bandar Abang Mustapha, Temenggung Jugah, Pengarah Montegrai, Ling Beng Siew dan Chia Chin Shin. 

Dalam mesyuarat permulaan mereka di Kota Kinabalu pada 30 Ogos 1962 memutuskan tugas-tugas JAK kepada lima jawatankuasa kecil yang menyentuh mengenai perlembagaan, kewangan, perundangan, perkhidmatan awam dan penyusunan jabatan-jabatan.

JAK ini telah mengadakan 24 kali mesyuarat termasuk 12 kali mesyuarat jawatankuasa kecil.  Mesyuarat JAK terakhir dibuat di Kuala Lumpur pada 20 Disember 1962. 

Dalam perkembangan ini Perikatan Sabah mengemukakan beberapa perkara tentang hak Sabah menerusi Tuntutan Dua Puluh.  Bagi Sarawak pula parti-parti politik yang pro-Malaysia telah bersatu dalam Perikatan Sarawak yang ditubuhkan pada Januari 1963.  Mereka juga membuat beberapa tuntutan kepada JAK.

Bantahan Terhadap Malaysia

Dalam masa penduduk Sarawak dan Sabah membuat persiapan untuk merdeka melalui Malaysia tiba-tiba meletus pemberontakan di Brunei.  Pemberontakan yang meletus pada 8 Disember 1962 itu bermula di Seria, Brunei dan digerakkan oleh Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU).  Pemberontakan ini juga mula menjalar ke Limbang, Lawas dan Bekenu di Sarawak.  Manakala berlaku juga sedikit kejadian tembakan di Watson, Sabah.   Pemberontak itu berjaya menawan bandar Limbang buat beberapa hari sebelum ditawan semula oleh tentera British.  Hajat pemberontakan ini mahukan Sarawak dan Sabah disatukan dengan Brunei.

Pemberontakan ini membawa kepada tanggapan negatif Presiden Indonesia, Sukarno terhadap rancangan Malaysia.  Beliau mula melihat penubuhan Malaysia ini merupakan tektik penjajah barat untuk terus berkuasa di wilayah Sarawak, Sabah dan Brunei.  Ini yang dikatakan oleh beliau sebagai penjajahan gaya baharu.

Kesan pemberontakan Brunei merupakan salah satu faktor Brunei menarik diri daripada menyertai penubuhan Malaysia.

Manakala Filipina menerusi Presiden Diosdado Macapagal pula membantah rancangan Malaysia kerana menuntut Sabah sebagai sebahagian wilayah Filipina. 

Manila Accord

Bantahan-banatahan negeri jiran ini menyebabkan Tengku berjumpa dengan kedua-dua pemimpin ini di Manila.  Perjumpaan yang berlangsung dari 30 Julai – 5 Ogos 1963 itu telah melahirkan satu perjanjian yang dikenali sebagai Manila Accord. Perjanjian ini meminta agar satu tinjauan antarabangsa di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).     

Persidangan di Manila ini tidak melumpuhkan usaha menjayakan Malaysia apabila wakil-wakil Sarawak, Sabah, Singapura dan Tanah Melayu menandatangi Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963.

Walau bagaimanapun persidangan di Manila ini mengubah tarikh pembentukan Malaysia yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia dari 31 Ogos 1963 kepada 16 September 1963.

Pengisytiharaan Malaysia

Sementara itu Setiausaha PBB iaitu U Thant bersetuju dengan Manila Accord untuk mengadakan siasatan PBB di Sarawak dan Sabah.   

Siasatan PBB ini bermula pada 16 Ogos hingga 5 September 1963 dan mendapati bahawa penduduk Sarawak dan Sabah menyokong penubuhan Malaysia.

Di akhir laporan siasatan PBB itu menyatakan bahawa pembentukan Malaysia mengikut ketetapan Perhimpunan Agung 1541 (XV) dan mendapat sokongan sebahagian besar penduduk Sarawak dan Sabah.

Pengesahan ini membolehkan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.  Pengistyharaan Malaysia dibuat di Kuching, Kota Kinabalu, Singapura dan Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

Namun Indonesia dan Filipina tidak menerima keputusan siasatan PBB ini yang menyebabkan Indonesia mengisytiharkan konfrantasi terhadap Malaysia.  Filipina mengambil langkah membantah secara diplomasi.

Cabaran-cabaran ini tidak melemahkan Malaysia tetapi menguatkan Malaysia sehingga terus makmur dan merdeka sehingga ke hari ini.