Swinburne Kampus Sarawak lakar sejarah baharu

TANGKAPAN LAYAR…Ir Profesor Lau dan Dr Aqsha merakam kenangan bersama para pelajar, kakitangan ITB dan kakitangan Swinburne Sarawak semasa orientasi secara maya baru-baru ini.

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak melakar sejarah baharu apabila mengadakan kolaborasi pertama dalam bidang pendidikan secara digitalisasi bersama-sama Institut Teknologi Bandung (ITB), Jawa Barat di Indonesia.

Permulaan semester kedua Swinburne baru-baru ini turut menyaksikan kumpulan pertama pelajar daripada Indonesia terbabit memulakan sesi pembelajaran dan pengalaman pertama mereka di universiti Swinburne secara atas talian.

Menurut kenyataan media Swinburne semalam, seramai 30 pelajar sarjana  kejuruteraan kimia daripada ITB, Jawa Barat telah berdaftar dalam program satu semester bersama dengan kampus cawangan universiti Australia.

“Semester kedua program ijazah telah bermula pada 30 Ogos lalu dan dijalankan sepenuhnya secara atas talian bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” kata kenyataan itu.

Sesi orentasi secara talian baru-baru ini turut disertai oleh Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Ir Profesor Lau Hieng Ho dan beliau menzahirkan penghargaan kepada ITB kerana memilih Swinburne Sarawak sebagai institusi bagi menjalankan program “Kursus Maya Antarabangsa ” ITB.

Katanya, ia merupakan perkongsian program pengajian luar negara pertama melibatkan pelajar Indonesia dan beliau berharap dapat melihat lebih banyak pelajar ITB menyertai program yang ditawarkan di Swinburne terutama untuk semester pengajian di luar negara atau program pascasiswazah.

“Kesemua pelajar akan dibantu sepenuhnya oleh kakitangan akademik dan profesional Swinburne Sarawak dan mereka turut dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan untuk memperkasa pengalaman mereka bersama-sama universiti kami,” katanya.

Menurut Penolong Profesor Jabatan Kejuruteraan Kimia ITB, Dr Aqsha berkata, Swinburne Sarawak merupakan institusi pendidikan yang sesuai untuk dijadikan sebagai rakan kongsi berdasarkan reputasi terbaik dalam kalangan universiti swasta di Malaysia dan di Australia.

Tambahan lagi katanya, Swinburne Sarawak mempunyai program- program yang memenuhi keperluan ITB dari segi penyediaan pelajar dengan pengalaman antarabangsa.

“Program pengajian di luar negeri ini dapat membantu meningkatkan pengalaman siswa kami dari segi bahasa, selain memberi pendidikan berkualiti tinggi serta menyediakan penanda aras kurikulum dan pemahaman kepada ITB bagaimana universiti terkemuka menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar.

“Justeru itu, ITB akan berusaha untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dengan Swinburne Sarawak, sama ada di peringkat sarjana atau pascasiswazah serta mencari peluang lain untuk kolaborasi dalam penyelidikan, projek komuniti, pengembangan produk dan sebagainya, “katanya.

Dalam pada itu, Dr Aqsha berharap agar melalui program ini, pelajar dapat mengembangkan rangkaian dan pilihan mereka untuk pendidikan pascasiswazah serta mengalu-alukan kakitangan fakulti Swinburne Sarawak untuk mengadakan pertukaran pelajar dan kursus maya, kuliah tetamu dan sebagainya.