INTAI LAYAK KE PIALA MALAYSIA

BERSEDIA… Barisan pemain Kuching City FC sedang menjalani persiapan terakhir sebelum aksi menentang skuad Projek FAM-MSN petang ini.

SKUAD Kuching City FC perlu mencatatkan keputusan setidak-tidaknya seri apabila turun menentang skuad Projek FAM-MSN petang ini bagi membolehkan layak ke saingan Piala Malaysia 2021 buat kali kedua musim ini.

Sebelum itu, perlawanan antara Kuching City menentang Kelantan United FC yang sepatutnya berlangsung petang Sabtu lalu terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19.

Ia kerana dua pemain Kelantan United FC didapati positif Covid-19 sekali gus menyaksikan perlawanan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Dalam pada itu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim semestinya tidak mahu berputih mata dan terlepas peluang keemasan meraih sekurang-kurangnya satu mata pada aksi petang ini jika mahu bermain pada saingan Piala Malaysia yang dijangka memulakan saingannya penghujung bulan ini.

Irfan menganggap hanya dengan kemenangan atau mencatatkan keputusan seri pada aksi menentang skuad muda negara di Stadium Pasir Gudang petang ini akan meletakkan mereka pada kedudukan selesa untuk meraih slot ke Piala Malaysia meskipun mereka masih mempunyai baki empat perlawanan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendabik dada terlalu awal meski berharapan skuad muda kendalian Yusri Che Lah bagi meletakkan Kuching City dalam kedudukan lebih terjamin.

“Seri pun sudah memadai tetapi sekarang kita dapat rehat lebih lama sikit selepas aksi dengan Kelantan United ditunda untuk kita bersedia pada aksi petang ini pula.

“Perlawanan di Pasir Gudang ini cukup penting buat Kuching City seandainya mahu bermain di Piala Malaysia. Justeru itu, tiada pilihan selain seri atau menang ke atas skuad Projek FAM-MASN,” ujarnya.

Irfan meluahkan sedikit kelegaan kerana pasukan kendaliannya itu mempunyai waktu rehat ekstra yang panjang sebelum melayan kunjungan Skuad Projek FAM-MSN.

Justeru, beliau berharap pemain-pemain ada sedikit masa untuk mendapatkan kecergasan selepas menempuhi jadual perlawanan yang begitu padat.

“Semua perlawanan adalah sukar dan bermain seperti pasukan dengan semua pemain terpaksa mengharungi satu perlawanan setiap tiga hari yang agak meletihkan,” ujarnya.

Berdasarkan carta terkini saingan Liga Premier, Kuching City berada di kedudukan terbaik untuk layak ke Piala Malaysia memandangkan tiga pasukan ‘feeder club’ yang berada di atas tidak dibenarkan beraksi dalam saingan tersebut.

Hanya 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier (tidak termasuk ‘feeder club’ atau pasukan pembangunan) akan layak ke Piala Malaysia.

Rekod pada musim lalu, Kuching City mencipta sejarah baharu apabila layak ke kejohanan berprestij Piala Malaysia 2020 buat kali pertama di bawah kendalian ketua jurulatih pada masa itu, Akira Higashiyama.

Oleh ADI SAFARMAN