USAH UJIAN CALITAN

MEMORANDUM… Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyaksikan memorandum perjanjian usaha sama antara Pengarah Urusan Carus Greenwealth Sdn Bhd Jeremy Sim (kiri) dan Pengarah Urusan Antares Ventures Sdn Bhd. Brendan Kon (kanan) di Kuching, semalam.

KUCHING: Keputusan ujian calitan RT-PCR atau RTK-Antigen tidak lagi diperlukan bagi pergerakan individu merentas daerah susulan penularan varian Delta telah merebak di seluruh kawasan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan tersebut dicapai setelah hampir 100 peratus kes varian Delta dikesan di semua bahagian di Sarawak menyebabkan ketidaperluan ujian calitan tersebut dijalankan lagi.

Menurut beliau, kerajaan mengetatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pergerakkan individu rentas daerah dengan mewajibkan individu menjalani ujian calitan RT-PCR atau RTK-Antigen sebelum ini sebagai usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 terutama melibatkan varian Delta. 

“Namun setelah kita mendapat laporan daripada Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bahawa varian Delta kini telah merebak di seluruh kawasan, maka kita merasakan tidak perlu menguatkuasakan arahan ujian calitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media setelah setelah mengadakan lawatan ke kilang memproses beras Antares Venture Sendirian Berhad sekali gus menyaksikan majlis ringkas menandatangani perjanjian usaha sama antara Antares Ventures dan Carus Greenwealth di Jalan Batu Kitang di sini, semalam.

Bagaimanapun tambah Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, pergerakan rentas daerah masih memerlukan permit kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini.

Manakala katanya, bagi kemasukan individu luar negeri ke Sarawak juga masih memerlukan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai usaha mengekang penularan jangkitan di Sarawak.

Oleh SYAMIMI HUSNA