Program PICK remaja tepat pada masanya

TERIMA KASIH… Manuchrir Smith (kanan) dan Timbalan YDP Muafakat, Jailani Awang, di pekarangan Dewan Suarah pada program PICK berkenaan.

MUKAH: Tindakan kerajaan untuk melaksanakan program vaksinasi untuk pelajar berusia 16 dan 17 baru-baru ini telah dianggapkan sebagai sesuatu yang tepat.

Bagi Yang Dipertua Badan Muafakat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Cawangan Mukah, Manuchrir Smith, ia bertepatan dengan pembukaan semula sekolah pada 3 Oktober depan.

 “Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia( KKM) atas pelaksanaan program pemberian vaksin terhadap golongan remaja ini,” katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)  bagi remaja berumur 18 ke bawah tersebut telah dilaksanakan selama tiga hari mulai  9 hingga 11 September  lalu.

Pemberian vaksin peringkat awal ini   bermula dengan pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun sahaja yang melibatkan  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, MRSM Mukah,  SMK Three Rivers  dan SMK St.  Patrick, termasuk pendaftaran terus.

 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PICK yang berlangsung di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Suarah Mesra Mukah  baru-baru ini

“Pemberian vaksin bagi Tingkatan 4 dan 5 di seluruh Sarawak itu adalah yang pertama di Malaysia. Ia sememangnya memberi  kelegaan buat semua ibu bapa yang terlibat, terutama bagi pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada awal Mac kelak,” tambah Manuchrir.

Beliau yang turut berada di Dewan Suarah semasa pelajar MRSM Mukah divaksin, percaya semua pelajar yang terlibat juga merasa lega.

 “Begitu juga bagi anak-anak  kita yang kelihatan kebanyakan teruja untuk divaksinasi  biarpun sesetengah daripada mereka takut untuk  disuntik namun berkat kerjasama ibu bapa dan penjaga, semua berjalan dengan lancar.

Difahamkan bahawa dos kedua untuk mereka yang disuntik hari ini adalah pada hujung bulan September.

“ Justeru selepas itu itu mereka sudah boleh  membeli barang keperluan persekolahan  sebelum masuk sekolah nanti. Syabas buat semua yang sudah divaksinasi,” kata Manuchrir.

Oleh HENRY B SIYU