Hari Malaysia, penyatuan rakyat sebagai ‘Keluarga Malaysia’

“TANGGAL 16 September, Hari Malaysia tidak kurang pentingnya dengan Hari Kemerdekaan, ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik, kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia”. • Foto Bernama

KOTA KINABALU:  Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pembentukan Malaysia pada 1963 sebagai penyatuan rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai ‘Keluarga Malaysia’ tanpa mengira asal atau latar belakang.

Beliau berkata, penyatuan sebuah keluarga Malaysia ini tetap kekal sejak sekian lama, kerana wujud perasaan hormat menghormati antara satu sama lain dan saling menghargai keunikan serta kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini.

Sehubungan itu katanya, penyatuan ‘Keluarga Malaysia’ dapat membawa kemajuan bersama, antaranya pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi, komunikasi dan kemudahan asas, meskipun masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki.

“Tanggal 16 September, Hari Malaysia tidak kurang pentingnya dengan Hari Kemerdekaan, ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa agama dan ideologi politik, kita harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia.

“Signifikannya Hari Malaysia, ia bukan sekadar memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia semata-mata, rakyat perlu memahami nilai kebersamaan sebuah keluarga iaitu ‘Keluarga Malaysia’ yang kita kecapi bersama sejak sekian lama,” katanya, dalam temubual dengan Bernama.

Katanya, di sebalik kemajuan dicapai, ia juga mengingatkan semua pihak bahawa segala perancangan dan perlaksanaan program pembangunan negara, amat bergantung kepada kestabilan politik.

Menurutnya apabila politik negara menjadi tidak stabil serta kerap berlaku pertukaran kerajaan, segala dasar yang dirancang sebelum ini akan bertukar dan ini sudah tentu turut menjejaskan usaha untuk membangunkan negara secara lebih berkesan.

Justeru kata Bung Moktar wacana dan naratif yang betul dan waras mengenai sejarah pembentukan Malaysia, amat perlu disemai supaya sentimen negatif tidak terus bersemarak yang akhirnya melemahkan sistem persekutuan, selain menghancurkan kedaulatan negara pada jangka panjang.

“Rakyat perlu faham akan nikmat yang diperoleh sejak Malaysia dibentuk, serta kesan dan implikasinya jika kita asyik bertelagah, tidak bersatu, dan lebih buruk lagi jika mengambil tindakan untuk keluar Malaysia.

“Hakikatnya ketika kesepaduan sosial perlu dikukuhkan, kita tidak harus lupa untuk mengukuhkan integrasi nasional. Perpaduan kaum dan perpaduan antara negeri-negeri serta tiga wilayah itu penting diperkukuh, bersatu teguh bercerai kita roboh,” katanya.

Mengulas mengenai Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia 2021 berkata, pelbagai acara dengan SOP ketat telah dirancang untuk sambutan itu.

Katanya, antara yang dijadualkan menghadiri majlis itu, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ismail Sabri, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

— Bernama