Lebih 80 terbunuh akibat banjir

SEORANG wanita Sudan melihat jalan yang dilanda banjir di kejiranan al-Kalakla di ibu kota Khartoum, Sudan. • Foto AFP

KHARTOUM: Banjir selepas hujan lebat di Sudan telah mengorbankan lebih daripada 80 orang dan merosakkan atau memusnahkan puluhan ribu kediaman, kata seorang pegawai Isnin.

“Sebanyak 84 orang terbunuh dan 67 yang lain cedera di 11 negeri di seluruh Sudan sejak awal musim hujan,” kata Abdel Jalil Abdelreheem, jurucakap Majlis Nasional Pertahanan Awam Sudan.

Tambah beliau. kematian adalah membabitkan mangsa mati lemas, renjatan elektrik dan rumah runtuh.

Sementara itu, sebanyak 8,408 rumah musnah dan lebih daripada 27,200 rumah dilaporkan mengalami kerosakan di seluruh Sudan.

Hujan lebat biasanya turun di Sudan antara Jun dan Oktober dan menghadapi banjir teruk setiap tahun, merosakkan harta benda, infrastruktur serta tanaman penduduk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa hujan lebat dan banjir telah mempengaruhi kira-kira 102,000 orang sejak Julai lalu.

“Hampir 50 kampung telah ditenggelami banjir di Sudan selatan, memindahkan sekitar 65.000 orang termasuk pelarian Sudan Selatan yang kem mereka dibanjiri,” kata PBB dalam sebuah laporan minggu lalu.

Tahun lalu, hujan lebat memaksa Sudan mengisytiharkan keadaan darurat selama tiga bulan, setelah banjir mempengaruhi sekurang-kurangnya 650,000 orang, merosakkan atau memusnahkan lebih daripada 110,000 rumah. -AFP