Juara ditentukan 21 September ini

SKUAD Sarawak United mengharapkan keajaiban bakal berlaku selepas perlawanan pada 21 September nanti bagi menentukan gelaran kejuaraan Liga Premier 2021.

SELEPAS berlaku kekecohan pada pertemuan kedua-dua pasukan Jumaat lalu, kini masih banyak cerita yang boleh diperkatakan tentang persaingan Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC.

Kini nasib kedua-dua pasukan berada dalam tangan mereka sendiri tanpa mengharapkan keputusan daripada perlawanan lain.

Berikut antara talking point menarik yang mungkin dapat tambah kehangatan aksi terakhir.

Negeri Sembilan dan Sarawak United hanya akan beraksi minggu depan dan kedua-duanya memiliki masa yang mencukupi untuk menampung atau pun baiki kelemahan yang ada.

Mungkin juga ada keajaiban atau pun ramuan terakhir mampu disebatikan kedua-dua pasukan untuk dijelmakan pada perlawanan nanti.

Pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan sebelum ini mengakui yang pasukannya boleh dikatakan bernasib baik kerana kemenangan Kuching City FC ke atas Sarawak United baru-baru ini, membuka peluang kepada pasukannya merebut kejuaraan.

Walaupun masih terbuka buat Sarawak United, Devan enggan persiakan peluang terhidang untuk hadirkan hadiah sulung pada musim pertamanya bersama pasukan.

Menang ke atas Sarawak United sebelum ini melonjakkan pasukan Hoben Jang Hoben itu di puncak Liga Premier dengan kelebihan satu mata malah peluang kini condong kepada Negeri Sembilan yang akan beraksi di gelanggang sendiri.

Sebaliknya pula, kem pasukan Negeri Sembilan kehilangan taringnya apabila Francis Kone digantung perlawanan dan situasi ini memaksa jurulatih itu merangka strategi lain untuk cuba elak terima kejutan daripada PDRM yang sudah pun terbukti kemampuannya di pusingan kedua.

Walaupun perit selepas terpaksa melepaskan status pendahulu Liga Premier, pengendali Sarawak United, E Elavarasan kekal dengan sikap positif. Walaupun diletak sebagai pilihan, jurulatih itu enggan terlalu dihimpit dengan tekanan.

Sekali pun Negeri Sembilan kehilangan tonggak, Elavarasan merasakan ia bukan jaminan dan kekalahan lepas tidak mengacau mood pemain sebaliknya akan kekal melawan hingga wisel terakhir.

JDT II yang cemerlang meraih mata maksimum dalam dua perlawanan terakhir boleh muncul sebagai pengacau buat Sarawak United.

Elavarasan juga memaklumkan, sebagai pasukan feeder club, agak sukar untuk meramal apa yang mampu dijelmakan JDT II kerana lawan itu boleh menggunakan pemain daripada skuad utama yang baharu saja sahkan kejuaraan Liga Super musim ini.

Pada aksi terakhir, Sarawak United akan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) manakala Negeri Sembilan bertemu PDRM pada 21 September ini.