Everton benam Burnley

PENJAGA gol Burnley, Nick Pope gagal menyelamatkan percubaan penyerang Everton, Andros Townsend (dua kiri), untuk gol kedua Everton semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park di Liverpool, barat laut England. • Foto AFP

EVERTON bergerak sama mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Burnley 3-1 semalam.

Ben Mee meletakkan pasukan pelawat di depan di Goodison Park sebelum percubaan tiga gol dalam tempoh enam minit sejurus selepas sejam perlawanan meneruskan permulaan hebat Rafael Benitez sebagai bos Everton.

Tandukan Michael Keane menentang kelab lamanya menyamakan kedudukan sebelum dua pemain yang dibeli Benitez, Andros Townsend dan Demarai Gray mengubah permainan.

The Toffees telah memperoleh 10 mata daripada empat perlawanan pembukaan liga mereka di bawah kendalian pengurus dari Sepanyol itu untuk bergerak bersama pesaing tempatan Liverpool, Chelsea dan Manchester United yang berada di kedudukan teratas liga.

Kebangkitan semula Everton lebih mengagumkan kerana mereka harus melakukannya tanpa Dominic Calvert-Lewin.

Benitez mengesahkan sebelum sepak mula bahaawa pemain antarabangsa England itu tidak akan bermain sehingga Oktober kerana patah jari kaki dan kecederan paha.

“Reaksi pemain, tidak kira apa juga sistemnya, sangat baik,” kata Benitez.

“Anda dapat melihat para peminat, sebaik sahaja kami menyerang, mereka berada di belakang pasukan.”

Townsend sebelum ini bermain di bawah Benitez di Newcastle dan menunjukkan kemampuannya untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dengan percubaan jarak jauh yang melepasui jangkauan Nick Pope ke sudut atas.

Gray kemudian menjaringkan gol ketiganya dalam tiga permainan dengan menyambar hantaran cemerlang Abdoulaye Doucoure untuk menewaskan Pope.

“Sayangnya ini adalah kali kedua musim ini, kami benar-benar mengalami satu tempoh yang menghampakan,” kata bos Burnley, Sean Dyche. “Kami membiarkannya lepas begitu sahaja selama enam minit, terlalu mudah kehilangan bola dan tersasar di peringkat ketiga terakhir, anda tidak boleh melakukannya dalam Liga Perdana.” – AFP