Lokasi perkelahan Sungai Raya, Sri Aman

DALAM… Joshua Ijau sedang berendam berhampiran sebatang pokok ketika berkelah di Sungai Raya, Sri Aman.

Baru-baru ini, penulis bersama dua rakan telah berkesempatan untuk meluangkan masa hujung minggu ke salah satu lokasi perkelahan yang tidak asing lagi dalam kalangan warga Sri Aman iaitu Sungai Raya.

Selama ini, Sungai Raya sememangnya sudah menjadi salah satu lokasi pilihan di Sri Aman untuk mana-mana keluarga atau individu berkumpulan yang ingin mengabdikan waktu keseronokan bersama melalui pelbagai aktiviti.

Faktor pemilihan lokasi ini boleh jadi disebabkan ketika mereka menuntut di bangku sekolah dahulu ada rakan-rakan mengajak berkelah ke Sungai Raya sehingga kenangan itu masih diabdikan dalam diri masing-masing sehingga mereka dewasa.

Kenangan berkelah ke Sungai Raya pada zaman persekolahan itu kemudiannya dihidupkan kembali dengan membawa keluarga masing-masing atau rakan lama kembali ke lokasi berkenaan pada waktu lapang.

Jadi di manakah lokasi Sungai Raya? Untuk ke lokasi berkenaan, hanya perlu memandu kenderaan menuju ke simpang Kampung Ibol dan masuk sehingga tiba di lokasi perkelahan berkenaan.

Di situ, satu pondok usang yang kecil akan menjadi ‘penyambut tetamu’ anda dengan barisan tangga sedia menunggu kesemua ‘tetamu’nya untuk turun ke bawah bukit menuju ke jeti kecil sungai berkenaan.

Penulis ketika tiba bersama dua rakan melahirkan rasa kagum ketika buat pertama kalinya menyaksikan kawasan Sungai Raya dengan mata sendiri.

Ini kerana lokasi perkelahan tersebut menggamit kehadiran pengunjung dengan suasana rimbunan hijau dan pemandangan cantik ternyata masih lagi menguasai kawasan persekitaran Sungai Raya berkenaan.

Lagi pun kejernihan air sungainya nyata menambah lagi suasana keindahan kawasan Sungai Raya yang tidak disangkai masih mampu bertahan semenjak nama lokasi ini diketahui oleh penulis semenjak 18 tahun lepas.

Lebih mengkagumkan kawasan sekitar perkelahan Sungai Raya ini nyata amat bersih disebabkan disiplin para pengunjungnya yang tidak membuang sampah secara merata-rata setelah melakukan aktiviti di situ.

Rakan penulis memberitahu kawasan perkelahan Sungai Raya ini pada suatu masa dahulu telah dijaga sepenuhnya oleh pihak Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).

Bagaimanapun atas sebab tertentu, pihak MDSA tidak lagi menjaga kawasan perkelahan Sungai Raya ini semenjak lebih 10 tahun lepas dengan carian di Google mengesahkan bahawa status lokasi ini ‘ditutup’.

Walaupun telah ditutup namun Sungai Raya kekal menerima kehadiran pengunjung yang hadir bersama ahli keluarga mereka untuk berkelah dan lari daripada kehidupan bandar pada waktu hujung minggu.

Keindahan Sungai Raya perlulah dikekalkan. Ini kerana tanggungjawab memelihara keindahan sungai dan rimbunan hijau di kawasan Sungai Raya terletak sepenuhnya di bahu pengunjung dan penduduk dari kampung berdekatan.

Ini kerana jika kawasan Sungai Raya menjadi kotor maka ia secara tidak langsung akan menyebabkan pengunjung tidak mahu lagi membawa ahli keluarga mereka untuk berkunjung ke lokasi itu.

Jika keindahan kawasan Sungai Raya dapat dikekalkan maka sudah pasti anak cucu kita akan dapat menyaksikan sendiri lokasi yang menyimpan pelbagai nostalgia dan memori indah orang tua mereka apabila sudah dewasa kelak.

Oleh VALENTINE NGUMBANG