Bantu selesaikan masalah lambakan pertanian

UNTUK ALBUM… Len Talif bergambar bersama yang lain selepas majlis ringkas penyerahan bakul hasil tani kepada wakil petugas barisan hadapan.

MEMAHAMI dan prihatin dengan masalah lambakan hasil pertanian yang dihadapi oleh petani, Kerajaan Sarawak telah memberi peruntukan kepada pertubuhan peladang untuk membeli secara lambak produk hasil tani dari petani tempatan untuk diagihkan semula. 

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, ia bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah lambakan hasil pertanian bagi mengekang risiko kerugian dalam kalangan petani tempatan. 

“Sebenarnya program ini dilaksanakan di seluruh Sarawak menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). 

“Pada hari ini, kita agihkan produk hasil tani tempatan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Sarikei. 

“Sebanyak 10 jenis buah-buahan dan sayuran tempatan diagih kepada petugas-petugas barisan hadapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita selepas majlis ringkas penyerahan bakul hasil tani kepada wakil petugas barisan hadapan di PPV Dewan Suarah Sarikei, Ogos lalu. 

DIAGIHKAN KEPADA PETUGAS

Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, hampir 1 tan produk hasil tani dibeli dari petani-petani tempatan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Sarikei. 

“Inisiatif ini bukan sesuatu yang baru kerana sebenarnya sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

“Ia dipergiatkan sejak tahun lalu ketika ramai petani tempatan terjejas akibat penularan wabak Covid-19,” ujarnya. 

Katanya, petani-petani yang berdepan masalah lambakan hasil pertanian boleh menghubungi Jabatan Pertanian atau pertubuhan peladang di kawasan masing-masing. 

“Kita mohon kepada petani-petani tempatan, sekiranya mereka mempunyai masalah dari segi penjualan produk hasil tani, sila berhubung dengan pertubuhan peladang dikawasan masing-masing,” katanya lagi. 

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin Zaini, Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei , Rainy Yaman, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Sarikei, Pemanca Ladin Sebang, Pengurus Besar, Pertubuhan Peladang Kawasan Sarikei, Yunus Akup dan Penolong Pegawai Pertanian Daerah Sarikei, Muhammad Ridzuan Paul Thomas Abdullah.

Terdahulu, sejumlah RM1.5 juta Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) diperuntukkan Kerajaan Sarawak untuk pengiat industri kecil di DUN N41 Kuala Rajang. 

PERKASA EKONOMI RAKYAT

Jelas Len Talif, seramai 173 orang pengiat industri kecil di sini telah menerima bantuan peralatan daripada dana AFF tersebut. 

“Bagi DUN N41 Kuala Rajang, peruntukan dana AFF sejumlah RM1.5 juta ini dibahagikan kepada zon Sarikei dan zon Tanjung Manis.

“Peruntukan yang disalurkan ini merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkasakan ekonomi rakyat khususnya golongan petani dan usahawan kecil,” katanya. 

Tambahnya, zon Sarikei dan zon Tanjung Manis bagi DUN N41 Kuala Rajang, masing-masing diperuntukkan dana AFF sejumlah RM750,000. 

“AFF diperkenalkan untuk membantu meningkatkan pendapatan pemain industri kecil melalui pemberian bantuan peralatan yang diperlukan oleh mereka.

“Kita mahu meningkatkan inovasi pengetahuan, kemahiran serta daya saing sekali gus menjana ekonomi golongan ini,” ujar beliau ketika ditemu bual pemberita di simbolik penyerahan bantuan AFF di Pejabat Pertanian Sarikei, Julai lalu. 

221 PERMOHONAN BANTUAN

Beliau berkata, banyak permohonan turut diterima dari pengiat industri kecil untuk mendapatkan bantuan tersebut. 

“Setakat ini, sebanyak 221 permohonan dari pengiat industri kecil daripada kedua-dua zon Sarikei dan Tanjung Manis sudah diluluskan mengikut kriteria, terma dan syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian.

“Manakala baki permohonan yang tidak diluluskan dalam fasa ini, saya akan usahakan dalam fasa seterusnya.  

“Justeru, menjadi harapan saya agar program dapat dilaksanakan dengan segera dan seterusnya menyelaras peruntukan yang ada dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, katanya, lebih RM100,000 peruntukan telah berjaya dilaksanakan melalui program Insentif Mula Projek yang melibatkan seramai 24 usahawan wanita dari zon Tanjung Manis. 

“Manakala baki akan diagihkan dalam masa terdekat ini setelah melalui proses tender terbuka yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian,” katanya lagi. 

Oleh EARL ANEK