Kelulusan Perjalanan untuk khidmat penting

 KUCHING: Individu yang keluar dalam tempoh jam 7.00 malam sehingga 7.00 pagi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga 31 Mac ini mesti memiliki Kelulusan Perjalanan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN).

Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung berkata, kelulusan perjalanan itu hanya perlu jika individu tersebut benar-benar memerlukannya.

“Ini adalah termasuk untuk mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting kecuali kakitangan kerajaan kerana kelulusan mereka telah diberikan oleh ketua jabatan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang keluar dalam tempoh 12 jam berkenaan perlu mendapatkan pengesahan “Kelulusan Perjalanan” itu di setiap pejabat residen atau daerah di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Tegasnya, individu dari sektor swasta atau perseorangan yang memerlukan kelulusan ini adalah mereka yang melakukan perjalanan sepanjang tempoh larangan itu.

“Untuk memohon kelulusan perjalanan ini, orang ramai hanya perlu membawa kad pengenalan sewaktu membuat pemohonan.

“Syarat paling penting adalah mereka perlu mengenalpasti tujuan utama perjalanan pada waktu itu dengan alasan yang munasabah.

“Contohnya jika para petani yang perlu menghantar bekalan sayur ke sesuatu tempat atau mempunyai urusan penting perlu diselesaikan pada waktu malam,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat jam 10 pagi semalam, sebanyak 30 borang perjalanan telah diluluskan untuk individu yang benar-benar perlu keluar pada tempoh tersebut.

“Manakala bagi individu yang bekerja di kilang-kilang di Samalaju, Samajaya dan kilang-kilang papan lapis, mereka perlu mengisi borang berkenaan bagi memastikan mereka memiliki kelulusan untuk bergerak serta melepasi sekatan polis.

“Mereka tidak perlu bawa apa-apa dokumen dan hanya bawa kelulusan perjalanan ini bersama dengan kad pengenalan diri, termasuk lesen memandu mereka apabila berada di luar pada tempoh tersebut,” tambahnya.

Bercakap lebih lanjut, beliau berkata bagi pengusaha kedai makan, kelulusan diberikan kepada mereka untuk membuka awal satu jam dari jam 7.00 pagi dan lewat satu jam untuk penutupan kedai untuk proses penutupan dan mengemas.

JPBN mengeluarkan arahan semalam bahawa semua wartawan dan warga media di Sarawak boleh menunjukkan Pas Media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia kepada Pegawai Polis yang menjaga sekatan jalan.

Manakala bagi editor, kakitangan percetakan dan pekerja yang menghantar surat khabar boleh menunjukkan surat kebenaran daripada majikan kepada pegawai yang terlibat tanpa memerlukan borang Kelulusan Perjalanan.