78 peratus remaja sudah divaksin

SIDANG MEDIA… Khairy Jamaluddin menjawab soalan daripada pengamal media pada sidang media sempena Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik di Wisma Bapa Malaysia, Kuching. • Foto HERRIEY NAHA

KUCHING: Sebanyak 78 peratus remaja yang berusia 16 hingga 17 tahun di negeri ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, keutamaan diberi kepada mereka dahulu kerana mereka ini akan kembali ke sekolah pada Oktober.

“Jadi ini adalah satu pencapaian yang baik dan selepas ini kita akan memberi perhatian kepada remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun .

“Setakat ini keseluruhan remaja yang berusia remaja 12 hingga 17 tahun, terdapat 29 peratus telah menerima sekurang-kurangnya telah menerima dos yang pertama.

“Oleh itu, program imunisasi ini mesti diteruskan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, semalam.

Ketika ditanya mengenai imunisasi kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang jumlahnya dianggarkan mencecahkan dua juta hingga empat juta, Khairy mengatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjalankan program berkenaan dai ia sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Kita sudah pun melaksanakan program outreach di seluruh negara bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) di semua negeri.

“Kita tidak menolak sesiapa yang pusat pemberian vaksin (PPV), sama ada mereka rakyat Malaysia, bukan warganegara, bukan warganegara tanpa dokumen kita beri vaksin.

“Kita ada polisi yang kita beri vaksin kepada semua dan sehingga kini kita masih lagi program outreach dengan NGO untuk memberi vaksin kepada sesiapa sahaja yang ada di Malaysia,” katanya lagi.

Oleh JEAKQLEYN YACHO