Projek bantu kos sara hidup ditambah baik

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. •Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Projek sedia ada yang terbukti dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat akan terus ditambah baik dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memastikan ia tersalur kepada golongan sasar dan mengurangkan ketirisan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek-projek tersebut adalah seperti Community Drumming, Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan, dan Barang Kawalan dan Subsidi yang meliputi beras, tepung, gula, minyak masak, LPG serta Petroleum.

“KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) juga sudah memulakan kajian rasionalisasi subsidi untuk mengenal pasti modul pemberian subsidi yang berimpak dan sampai kepada golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan  semalam mengenai RMK-12.

Nanta berkata, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) juga sentiasa menggalakkan pembangunan inisiatif dan projek berorientasikan rakyat dan mudah serta cepat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

Nanta juga berkata, inisiatif pendigitalan di bawah program MyDigital untuk sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan pengedaran termasuk aplikasi ez-Aduan, Price Catcher, My Sales Tracker, MyHarga, Spacedeal, Chatbot Sara, Enforcement Command Centre dan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) akan ditambah baik dalam RMK-12.

Bagi menjadikan sektor perdagangan pengedaran berada dalam persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, beliau berkata beberapa perundangan berkaitan akan diteliti semula dan dipinda bagi membantu pemulihan entiti perniagaan dan menjadikan peniagaan kekal kompetitif terutamanya dalam fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Antara perundangan terlibat adalah Akta Syarikat 2016, Akta Perkongsian Liabiliti 2012, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, Peraturan-peraturan di bawah Akta Francis 1998 serta perundangan berkaitan harta intelek, katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP komited untuk merancakkan lagi sektor berkaitan perdagangan pengedaran yang merangkumi perdagangan borong dan runcit, pasar raya besar dan pasar raya, serta perniagaan francais dan jualan langsung, yang secara konsisten adalah antara penyumbang pelaburan utama kepada sektor perkhidmatan negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Nanta berkata KPDNHEP bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan mengadakan libat urus berterusan dengan pemain utama industri seperti Shoppe, Lazada, Grab, Food Panda dan Airasia Food bagi memperkembangkan ekonomi gig dalam RMK-12.

Libat urus tersebut diadakan untuk mewujudkan satu ekosistem yang kondusif dan iklim persaingan yang sihat antara pengguna, vendor, operator dan pekerja penghantaran, katanya.

Dalam aspek dana harta intelek, katanya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan memperhebatkan usaha membantu lebih ramai usahawan belia untuk memfailkan harta intelek mereka seperti cap dagangan, paten, hak cipta dan reka bentuk perindustrian.

MYIPO juga akan membantu Maryam Muzamir mempatenkan hasil innovasi makanan haiwannya yang telah memenangi tiga pingat emas Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Ke-6 (iCAN) di Toronto, Kanada baru-baru ini, katanya.

“KPDNHEP merasakan rakyat Malaysia harus menjadi masyarakat pengguna yang berdaya-upaya yang peka terhadap hak mereka dan peniaga yang beretika dalam sebuah ekosistem perdagangan dalam negeri yang berdaya-saing dan berdaya-maju berasaskan pasaran bebas,” katanya.

Beliau berkata, program advokasi dan promosi akan terus dilaksanakan dalam RMK-12 di semua peringkat meliputi sekolah, universiti, persatuan pengguna dan masyarakat. – Bernama