1,008 silinder oksigen tiba di Kuching

KEPERLUAN… Sebanyak 1,008 silinder oksigen dari Kuala Lumpur tiba di Kuching dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), semalam

KUCHING: Menerusi lawatan kerja dan mesyuarat bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Ahad lalu sebanyak 1,008 silinder oksigen dari Kuala Lumpur tiba di Kuching dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Sri Dr Sim Kui Hian berkata, 1,008 silinder oksigen berkenaan akan diedarkan ke semua hospital di Sarawak sebagai sebahagian daripada persiapan meningkatkan kapasiti hospital sekiranya terjadi peningkatan kes varian Delta di Sarawak.

“Sarawak seperti Semenanjung Malaysia, Singapura dan UK telah memasuki fasa endemik, hidup dengan virus dengan meneruskan kehidupan dengan berjaga-jaga semasa memerangi penularan ini dan kita memerlukan dua komponen penting iaitu meningkatkan kapasiti hospital sekiranya berlaku lonjakan Kategori 3,4 dan 5 yang memerlukan katil hospital.

“Dengan Delta, kita mesti bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku dan bekerja keras untuk yang terbaik dengan adanya (dos penggalak, ubat antibodi monoklonal baru, monitor icu, titik oksigen, silinder oksigen, ventilator, kakitangan perubatan dan jururawat).”

Tambah beliau, tanggungjawab diri dengan penilaian risiko diri (pada aktiviti harian), ujian diri (RTK Ag), pemantauan diri (tanda bahaya), pengasingan diri (pendedahan jarak dekat atau positif dengan kuarantin di rumah sebanyak 99 peratus pada kategori 1 dan 2 dengan kadar pemulihan 99 peratus).

“Langkah lain adalah dengan penggunaan (double mask), jarak fizikal, jarak sosial (mana-mana perjumpaan sosial atau keluarga sama ada di tempat persendirian atau awam), pengudaraan aliran udara segar dari tempat awam dengan mencuci tangan dan juga menjaga kebersihan.

“Kita juga memerlukan semua orang untuk memainkan peranan agar dapat meneruskan kehidupan dengan berhati-hati semasa memerangi penularan virus iaitu kita kena hidup dengan virus,” jelas beliau dalam Facebook rasmi miliknya semalam.

Oleh AZREEN KERIA