Operasi pusat kecantikan buka semula

LEGA…Pemilik Lash & Beauty Studio Dayang Puspasari Abang Spian menarik nafas lega setelah pusat kecantikan milik beliau boleh beroperasi semula dalam Fasa 3 PPN.

Zon Selatan di Sarawak akan beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 mulai 1 Oktober dan kesemua sektor ekonomi atau perniagaan akan kembali dibuka semula.

Keputusan itu dinyatakan menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) setelah mengambil kira nilai-nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Zon Selatan.

Menerusi tinjauan Utusan Sarawak di sebuah pusat kecantikan, Dayang Puspasari Abang Spian, pemilik Lash & Beauty Studio berkata, sebelum ini perniagaan beliau memang terkesan kerana terpaksa bertahan untuk menanggung banyak kerugian membayar sewa kedai dan komitmen yang lain selama hampir 2 tahun tidak beroperasi setelah premis spa kecantikan diarah untuk tutup disebabkan Covid-19.

“Sementara menunggu operasi spa boleh beroperasi semula, saya ada menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara atas talian bagi membantu dan meringankan segala pembayaran sewa kedai dan untuk kelangsungan hidup.

“Setelah hampir 2 tahun tidak beroperasi, sukar untuk saya gambarkan perasaan gembira untuk memulakan operasi spa kecantikan kelak.”

Jelas beliau, sebagai usahawan yang berdepan dengan pandemik Covid-19, harus sentiasa bersedia dalam apa-apa jua kemungkinan yang akan berlaku dan jangan mudah berputus asa.

“Saya tidak dapat duduk diam menunggu bulan jatuh ke riba, saya perlu berusaha dan bertawakal dalam apa-apa jua yang dilakukan sementara menanti perniagaan saya kembali beroperasi

“Setiap persediaan sudah pun dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan dan pematuhan SOP bagi premis spa, meskipun khuatir dan bimbang untuk berdepan dengan pelanggan, saya tetap beranikan diri bagi mencari rezeki, walaupun harus berdepan dengan risiko yang tinggi.”

“Saya yakin situasi ini dapat dikawal jika kita patuhi SOP yang telah ditetapkan sebelum memberi perkhidmatan kepda pelanggan dan saya berpesan kepada para pelanggan agar memberi kerjasama,” tegas beliau ketika ditemu bual.