Guru perlu prihatin psikologi kanak-kanak

PAKAR psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr. Noor Aishah Rosli. • Foto BERNAMA

PEMBUKAAN semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 3 Oktober ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan guru, dengan masing-masing bebas mengeluarkan pandangan.

Namun, dalam berpolemik itu jangan sampai isu psikologi kanak-kanak yang bakal kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan sekolah selepas sekian lama, dikesampingkan.

Umum menganggap golongan itu teruja dapat kembali belajar di dalam kelas fizikal, berinteraksi dengan guru dan rakan secara bersemuka, namun tidak boleh disangkal pasti ada antara mereka yang berasa resah dan bimbang apabila memikirkan perlu ke sekolah semula.

Antara faktor yang menyebabkan keadaan sedemikian ialah takut dengan ancaman Covid-19 serta kekok dan malu untuk bertemu semula rakan sekelas dan guru. Tidak kurang juga ada yang berasa bimbang gagal menjawab pertanyaan guru kerana tidak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara konsisten selain tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

WUJUD PERSEKITARAN SANTAI

Menurut Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001, golongan itu ditakrifkan sebagai individu berusia bawah 18 tahun.

Pakar psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr. Noor Aishah Rosli berkata pihak sekolah wajar mengambil pendekatan lebih santai pada peringkat awal sekolah dibuka semula dengan guru-guru tidak terus mengajar.

Sebaliknya, pelajar diajak beriadah dan bersukan atau bermain terlebih dahulu asalkan aktiviti berkenaan dilakukan dalam lingkungan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya keadaan yang tidak terlalu terikat dengan sesi pengajaran normal dalam tempoh seminggu dua sesi persekolahan itu penting bagi membangkitkan semangat dan rasa seronok, selain mengurangkan rasa janggal serta stres yang mungkin wujud dalam kalangan kanak-kanak kerana sudah lama tidak ke sekolah.

“Kita nak kembalikan ‘mood’ di samping merangsang semula kemahiran sosial dan komunikasi mereka bersama rakan-rakan dan guru-guru. Kita mahu murid-murid, khususnya di tahun satu dan dua, mempunyai persepsi positif dan seronok untuk terus belajar di sekolah,” katanya kepada Bernama.

Dr Noor Aishah turut menasihati guru agar tidak terus bertanyakan tentang kerja sekolah, kehadiran di kelas PdPR dan sebagainya yang boleh menjejaskan keterujaan murid dapat kembali ke sekolah.

ULANG KAJI RINGKAS

Pelajar yang tidak mengikuti PdPR secara konsisten sedikit-sebanyak akan ketinggalan beberapa perkara dalam pelajaran.

Isu tercicir atau ketinggalan ini boleh berlaku bukan sahaja disebabkan oleh kekangan kemudahan seperti ketiadaan Internet, komputer riba dan sebagainya, tetapi juga kerana perbezaan suasana belajar di dalam kelas dan di rumah sehingga pelajar sukar memberi tumpuan kepada pembelajaran.

Dr. Noor Aishah berpendapat perkara paling penting dalam persekolahan ketika era pandemik ialah kefahaman pelajar, bukan lagi peperiksaan dan menghabiskan silibus semata-mata.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 20 September lepas, menyatakan tahap keberkesanan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah sederhana.

Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian, dengan tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh Mac hingga Julai tahun lepas, menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar.

Sebanyak 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah, dan daripada jumlah itu,  48.9 peratus menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, 55 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan manakala 53.4 peratus tertekan kerana kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran.

KPM turut menyebut 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

SESI KAUNSELING, PERBINCANGAN PAKAR

Berkongsi pandangan, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr. Hasnah Toran berkata KPM perlu menyediakan pakej latihan berserta maklumat kepada guru untuk mengenal pasti sekiranya pelajar berhadapan masalah sosioemosi seperti bergaul dan berinteraksi dengan kawan-kawan dan guru.

Ujarnya sesi kaunseling boleh dijalankan ke atas pelajar terlibat bagi membantu mereka mengurangkan rasa resah, kurang selesa, bimbang dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, lebih banyak perbincangan melibatkan pakar-pakar berkaitan perlu dijalankan bagi memastikan kesediaan kanak-kanak untuk kembali meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka, manakala guru-guru dan ibu bapa pula harus mempunyai strategi masing-masing agar setiap proses berjalan lancar.

MBK PERLU BERSEMUKA

Sementara itu, bagi guru prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Dato’ Penghulu Luak Jempol, Negeri Sembilan, Nurhayati Zainudin, pengoperasian sekolah secara bersemuka melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan PPKI, membantu MBK menjalani sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) secara lebih berkesan berbanding secara dalam talian.

Selain pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara mulai 3 Oktober ini, penetapan kapasiti hanya 50 peratus di dalam kelas adalah demi memastikan pelajar dapat terus rapat dengan sekolah serta hadir di sekolah dalam keadaan yang selamat. – Bernama