PBB desak Lubnan atasi krisis ekonomi

DIANGGARKAN, 78 peratus penduduk Lubnan hidup di bawah garis kemiskinan. • Foto AFP

BEIRUT: Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada Lubnan mengenai krisis ekonomi negara itu yang semakin teruk.

Malah, agensi antarabangsa itu juga mendesak kepemimpinan Lubnan untuk segera melaksanakan pembaharuan ekonomi dan dasar di negara tersebut.

Lapor AFP, gesaan itu dibuat ketika kemiskinan melampau dan kebuluran semakin meningkat dalam kalangan ribuan penduduk di Lubnan.

“Situasi ini kekal menjadi mimpi buruk kepada penduduk biasa dan menyebabkan penderitaan yang tidak dapat diungkapkan bagi golongan kurang bernasib baik,” kata Koordinator Bantuan Kemanusiaan PBB untuk Lubnan, Najat Rochdi.

PBB menganggarkan sebanyak 78 peratus atau kira-kira tiga juta penduduk Lubnan hidup di bawah garis kemiskinan, dengan 36 peratus orang dalam kategori miskin yang melampau.

Jelas PBB, hampir satu per empat populasi gagal mendapat makanan yang diperlukan pada akhir tahun lalu.

“Kebuluran menjadi realiti yang semakin meningkat bagi ribuan orang.

“Kami menganggarkan lebih sejuta penduduk Lubnan memerlukan bantuan untuk menampung keperluan asas mereka termasuk makanan,” katanya.

Komuniti antarabangsa sebelum ini berulang kali mendesak Lubnan melaksanakan pembaharuan ekonomi terutamanya dengan menamatkan rasuah dan perbelanjaan yang boros serta menstruktur semula sektor tenaganya.

Sementara itu, Rochdi turut menggambarkan krisis perubatan yang berlaku di Lubnan sebagai `hukuman mati’.

Sebelum ini, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berjanji untuk melaksanakan pembaharuan segera, mengadakan semula perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk program bailout dan membuka jalan untuk pemulihan ekonomi negara. – AFP