CUNGKIL POTENSI JURULATIH

DATUK Snowdan Lawan merakamkan gambar bersama 25 peserta yang berjaya menamatkan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM (Lesen D) 2021 di Miri, semalam.

SARAWAK memerlukan jurulatih yang memiliki lesen peringkat tinggi dalam usaha melatih dan melahir pemain bola sepak tempatan berkaliber sekali gus mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata dengan melihat pembangunan bola sepak di Sarawak ketika ini, adalah diharapkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dapat menggunakan khidmat pemain negeri ini sepenuhnya pada masa akan datang.

Jelas beliau,  untuk mendapatkan khidmat pemain tempatan Sarawak bukannya mudah kerana ia bakal memberi cabaran besar serta menuntut FAS mencungkil potensi jurulatih sebagai penggerak usaha tersebut.

“Tanpa usaha seorang jurulatih mencungkil bakat pemain berpotensi di peringkat akar umbi sama ada di bandar mahupun luar bandar, hasrat melahirkan pemain tempatan (berkaliber) tidak akan mampu direalisasikan.

“Saya mahu melihat Sarawak mempunyai pemain bola sepak tempatan berkaliber yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dengaan bimbingan jurulatih yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis penutupan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM (Lesen D) 2021 di salah sebuah hotel terkemuka di Miri semalam.

Seramai 25 bakal jurulatih dari sekitar negeri ini telahpun menyertai kursus terbabit yang telah diadakan di Stadium Bandaraya Miri bermula 27 September hingga 2 Oktober lalu.

Kursus selama enam hari itu dianjurkan oleh FAS dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman Wan Jamak Wan Hassan dan dibantu oleh Pengiran Bala.

Snowdan berharap penyertaan jurulatih dalam kursus itu akan membolehkan mereka mendapat sijil Lesen D sekali gus memberi sumbangan bagi membawa perubahan kepada pembangunan bola sepak di kawasan luar bandar terutama di peringkat akar umbi.

“Mencantumkan pemegang jurulatih Lesen A, B, C dan D akan memperlihatkan kekurangan jurulatih di Sarawak, namun usaha akan terus dilakukan untuk melatih lebih ramai jurulatih supaya mampu mencapai tahap jurulatih ke peringkat tinggi,” ujarnya sambil menambah di negeri Sarawak kini hanya terdapat sembilan jurulatih pemegang Lesen A.

Jelas Snowdan, beliau cukup teruja dengan penglibatan tiga peserta wanita yang terlibat dalam kursus tersebut dan menyifatkannya sebagai perkembangan baharu bola sepak di Sarawak dengan penglibatan wanita sebagai jurulatih.

“Kalau di negara-negara Eropah, ia sudah menjadi kebiasaan wanita menceburi dalam bidang kejurulatihan ini, namun di negeri ini ia seperti luar biasa kerana kita jarang-jarang melihat penglibatan golongan itu dalam bidang kejurulatihan.

“Ini merupakan satu petanda yang baik kepada perkembangan bola sepak di negeri ini, sekaligus ini akan menambah percambahan idea konstruktif dan terkini yang amat kita perlukan bagi membawa bola sepak Sarawak ke satu tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Sementara itu Timbalan Presiden FAS, Saif Jubaidi berkata persatuan itu mahu lebih banyak kursus jurulatih diadakan di Sarawak sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai jurulatih berwibawa di negeri ini.

Beliau mengakui bahawa Sarawak masih kekurangan jurulatih berkelayakan dan usaha perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk menambahnya.

Pada masa sama katanya, dengan kerjasama antara FAS dan SSC dalam misi memperbanyakkan aktiviti dan kursus kejurulatihan di negeri ini.

“Ini adalah selaras dengan tujuan dan matlamat ke arah persediaan jurulatih untuk di tempatkan di bawah aktiviti dan program-program pembangunan SSC pada masa akan datang,” ujarnya.

Selain itu Saif berkata, FAS juga akan memastikan program-program seperti ini terus diadakan di bahagian tengah dan selatan Sarawak.

Oleh ADI SAFARMAN