Guru belum divaksin beri sedikit kesan

DATUK Radzi Jidin (dua, kanan) bertanya sesuatu kepada pelajar ketika mengadakan lawatan pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Khurshiah semalam. Turut sama Pengetua SMK Tunku Khurshiah Norhidah Mat Nor (kiri). • Foto BERNAMA

KUALA PILAH: Keputusan segelintir guru yang belum bersedia menerima suntikan vaksin ketika ini memberikan sedikit kesan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, meskipun jumlah guru yang belum bersedia divaksin hanyalah kira-kira 2,000 orang sahaja daripada keseluruhan 415,000 guru di seluruh negara, namun ia tetap menjejaskan pengurusan di sekolah.

“…jumlah itu terlalu kecil, tetapi sebab ada sekolah yang guru tak mahu divaksin ini kadang-kadang mengajar subjek yang sama, jadi bagaimana nak mengajar.

“Ada juga guru yang tidak mahu divaksin ini satu-satunya (guru) yang mengajar subjek tertentu, jadi sekolah berkenaan tiada guru subjek itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di sini semalam.

Katanya, keputusan menukarkan guru yang belum divaksin ke tempat lain bukanlah ugutan, tetapi ia melibatkan urusan pentadbiran selain Jabatan Perkhidmatan Awam juga mewajibkan kakitangan awam divaksin sebelum 1 November ini.

Sementara itu Radzi berkata, Kementerian Pendidikan masih meneliti cadangan menukar permulaan sesi persekolahan daripada Januari kepada Mac, dengan menjadikan sesi tahun depan sebagai panduan.

Jelasnya kementerian turut mengambil kira libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru yang memberi maklum balas positif termasuk berkaitan pengurusan peperiksaan ketika musim tengkujuh di beberapa negeri. – Bernama