Bercucuk-tanam di kawasan terhad dengan hidroponik

SAYUR kangkung yang ditanam secara hidroponik.

Apa itu hidroponik? Hidroponik adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air baja tanpa menggunakan tanah.

Baru-baru ini, penulis mempraktikan kaedah ini untuk tanaman sayur kangkung.

Oleh kerana tinggal di bandar raya Kuching, tidak hairanlah penulis cuba mempraktikkan cara ini akibat daripada keluasan tanah yang terhad untuk bercucuk tanam.

Penanaman secara hidroponik ini dilakukan oleh penulis sebagai hobi dan ada kalanya penulis amat suka melakukan eksprimen ke atas tumbuh-tumbuhan.

Dalam pada itu, kaedah tanaman hidroponik juga lebih mudah dan menjimatkan masa.

Kaedah penanamannya hanya memerlukan air, baja dan cahaya.

Kaedah ini permulaan sesuai bagi mereka yang ingin berkebun kerana hanya beberapa barangan diperlukan, selain bekas tanaman juga mudah dibuat sendiri.

Banyak jenis penanaman hidroponik seperti sistem sumbu, teknik filem nutrient (NFT), sistem pasang surut atau dikenali  Ebb & Flow System, sistem drip, aeroponik, fertigasi dan pelbagai lagi. Untuk kali ini, penulis menggunakan sistem sumbu.

Melalui kaedah hidroponik , tanaman akan dibekalkan air dan nutrien dengan efektif.

Oleh itu, hidroponik boleh mempercepatkan kadar penumbuhan sehingga 50 peratus berbanding menggunakan tanah.

Tanaman hidroponik menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Ini kerana ia mampu mengurangkan kos dan penggunaan air.

Penggunaan baja hidroponik hanya satu perempat daripada penggunaan baja tanah dalam kadar pengeluaran sama.

Masyarakat perlu menceburi tanaman hidroponik  dan ia amat sesuai dijadikan aktiviti bersama keluarga.

Oleh NUR AIN OTSMAN