RM7.76 juta untuk 652 usahawan belia

KENANGAN… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian usahawan muda di bawah GERAK, USTEV, SKMS dan SPIKS di Miri, pada Ahad.

MIRI: Sejumlah RM7.76 juta telah diluluskan untuk 652 usahawan belia di seluruh Sarawak melalui program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), setakat Ogos lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa beliau mengadakan  lawatan kerja ke IANA Corporation Sdn. Bhd. di sini, pada Ahad.

Manakala bagi Skim Pinjaman Industri dan Sederhana (SPIKS)  seramai 411 usahawan Bumiputera Sarawak telah menerima manfaat dengan nilai kelulusan RM30.13 juta.

“Pada masa yang sama, 1,463 permohonan SKMS dalam kalangan usahawan B40, kecil dan mikro telah diluluskan dengan jumlah pinjaman RM48 juta.

“Kesemua mereka akan menikmati moratorium selama enam bulan dan subsidi kadar faedah bagi tempoh 42 bulan (3.5 tahun) melalui program SPIKS dan SKMS,” katanya Awang Tengah.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, permohonan bagi GERAK, USTEV, SKMS dan SPIKS masih lagi dibuka dan borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang kementerian.

Mereka yang berminat boleh melayari mintred.sarawak.gov.my untuk maklumat lanjut.

Oleh LIONG CHAI LING