PERAIS jana pendapatan melalui fertigasi

PENYERAHAN… Ahmad (kanan) menyerahkan sijil kursus tanaman fertigasi pada Mei lalu kepada wakil peserta, Rapelson (kiri).

KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) berusaha menjana pendapatan kepada persatuan menerusi bidang pertanian moden melalui kaedah fertigasi.

Presidennya, Rapelson Richard Hamit berkata, program ini merupakan program komuniti bagi menjana pendapatan kepada persatuan dan masyarakat setempat.

Katanya, pemasangan sistem fertigasi PERAIS telah berjaya dilaksanakan di ladang mini Kampung Temelan Dayak, Lundu melibatkan sejumlah 500 poli beg tanaman cili. 

“Ia merupakan hasil kerjasama Pengurus HFE Agro Resources Sdn Bhd, Ahmad Syafiq bersama-sama kakitangan beliau yang dilaksanakan dengan sempurna pada Ahad lalu. 

“Justeru itu, saya amat bersyukur dengan kejayaan program ini setelah sekian lama ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Rapelson berharap agar dengan penglibatan PERAIS dalam bidang pertanian moden mampu menjana pendapatan kepada persatuan dan juga masyarakat setempat sekali gus sebagai pemulihan setelah peralihan fasa endamik nanti.

Terdahulu, program penyampaian sijil kursus latihan tanaman moden fertigasi secara atas talian turut dilaksanakan pada Mei lalu.

Sijil-sijil peserta PERAIS juga telah diserahkan oleh Ahmad Syafiq kepada Presiden PERAIS, selepas selesai pemasangan sistem fertigasi berkenaan di lapangan. 

Program ini juga turut disokong oleh Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin merangkap Ahli Parlimen Puncak Borneo.

Oleh SYAMIMI HUSNA