FAS mahu pasukan Piala Presiden ‘berkampung’ di Miri

SKUAD Piala Presiden Sarawak United 2021 yang dibimbing oleh Abdul Jalil Ramli.

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) memohon agar dua pasukan pelapis Piala Belia dan Piala Presiden Sarawak United menjadikan Miri sebagai pusat latihan dan venue tuan rumah pada musim 2022.

Timbalan Presiden FAS, Mohd Saif Jubaidi berkata pihaknya mempunyai alasan munasabah untuk membawa kedua-dua pasukan muda itu ‘berkampung’ di Miri setelah mengira keperluan dan asas serta faktor penyewaan padang.

“Selepas pasukan Piala Belia berpusat di Miri sejak dua tahun ini, kita juga ingin memohon pasukan Piala Presiden Sarawak United menjalani latihan dan menjadikan Stadium Bandar Raya Miri sebagai tuan rumah musim depan.

“Bagi pihak FAS, kami lebih menyokong kedua-dua pasukan pelapis ini berlatih di Miri, kerana tidak banyak karenah berkaitan penyewaan padang bagi mengadakan latihan.

“Untuk tidak mahu menghadapi apa-apa kesukaran pada musim depan, kita memohon agar pasukan Piala Presiden juga berlatih di Miri,” katanya ketika berucap pada Majlis penutupan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak FAM (Lesen D) 2021 di salah sebuah hotel terkemuka di Miri semalam.

Saif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak FAS berkata sebelum ini skuad Piala Presiden Sarawak United telah memilih Stadium Sarawak sebagai tempat latihan serta venue tuan rumah.

“Malangnya, kedua-dua penganjuran Piala Belia dan Piala Presiden telah dibatalkan oleh pihak FAM dua tahun berturut-turut, saya berharap permohonan membawa pasukan Piala Presiden Sarawak United ke Miri musim depan akan dipertimbangkan,” ujarnya.

Terdahulu, buat musim kedua berturut-turut saingan bola sepak peringkat remaja itu terpaksa dibatalkan ekoran situasi pandemik Covid-19 yang tidak mengizinkan.

Dua pertandingan yang menjadi medan buat ‘ubi muda’ tempatan mengasah bakat adalah Piala Presiden dan Piala Belia.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan hal ini dilakukan setelah mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 di Malaysia yang masih tidak stabil.

“Selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran kedua-dua pertandingan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media Ogos lalu.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Lamat Nyalau, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri, Nazri Ahmad Lai dan Pengarah Teknikal FAS, David Usop.