Barisan hadapan wajar dapat pujian, penghargaan

SHEILA ZAIDI

KUCHING : Usaha pasukan hadapan yang terus mengorbankan masa, tenaga malah keselamatan mereka sendiri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini terus mendapat pujian dan penghargaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata barisan hadapan inilah hero sebenar kerana semua orang maklum bahawa wabak Covid-19 ini sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

“Tetapi dengan semangat juang yang tinggi, barisan hadapan ini tetap komited dalam menjalankan tugas walaupun terpaksa berjauhan dari keluarga tersayang.

“Sama-sama kita doakan agar semua barisan hadapan kita ini dilindungi dan dipermudahkan segala urusan mereka,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.

Lo yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) ingin mengucapkan jutaan terima kepada petugas-petugas barisan hadapan ini yang terdiri daripada pihak Jabatan Kesihatan, pihak PDRM khususnya dari IPD Padawan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penguatkuasa MPP dan agensi-agensi yang terlibat semasa PKP ini.

Isnin lalu, Sarawak dikejutkan lagi dengan dua kes kematian melibatkan mangsa Covid-19 dan juga peningkatan kes positif seramai enam orang sekali gus menjadikan kes kematian seramai lima orang dan 82 kes positif.

Peningkatan angka ini, kata Lo, amat merisaukan semua pihak dan pelbagai langkah dan inisiatif telah diambil oleh kerajaan untuk memastikan penularan Covid-19 ini dapat diatasi.

“PKP yang dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Mac ini adalah salah satu langkah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dari terus menular.

“Sepanjang tempoh PKP ini berjalan, pihak polis dan dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan bagi melakukan rondaan dan sekatan jalan raya bagi memantau pergerakkan orang awam dan jika orang awam yang sengaja melanggar peraturan ini, tindakan dibawah Akta Polis 1967 akan dikenakan,” tegas Lo.

Oleh yang demikian, beliau menggesa supaya orang ramai khususnya penduduk di kawasan DUN  Batu Kitang agar mematuhi arahan semasa.

Katanya, diharapkan dengan adanya kerjasama dari semua pihak, kita dapat mengurangkan penularan Covid-19 ini.