DUN Melaka bubar, beri laluan PRN

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) pada sidang media mengenai Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-14 di Seri Negeri semalam. • Foto BERNAMA

MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober  bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali Isnin lalu.

Ab Rauf berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

“Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-14 pada 4 Oktober 2021 (Isnin),” katanya dalam sidang media khas di Seri Negeri di sini semalam.

Ab Rauf berkata, Proklamasi Pembubaran DUN Melaka Ke-14 diwartakan semalam.

Pada sidang media itu, Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

Ditanya mengenai PRN ketika pandemik Covid-19, Ab Rauf berkata SPR boleh mencadangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan negeri sedia ada akan menjadi kerajaan sementara sehingga PRN dilaksanakan.

Isnin lalu empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). – Bernama