RM330 bilion pakej bantuan, rangsangan ekonomi

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen semalam.• Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih RM330 bilion atau kira-kira 62 peratus telah disalurkan daripada lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan setakat 24 September lepas, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, kesemua pakej bantuan dan rangsangan ekonomi itu merangkumi langkah fiskal dan bukan fiskal.

“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dan segera untuk menangani krisis Covid-19, terutama dalam memenuhi keperluan sistem kesihatan awam, membantu rakyat yang terjejas dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai jumlah yang dibelanjakan berbanding dengan yang diperuntukkan sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Oleh kerana situasi Covid-19 bersifat dinamik, adalah wajar bagi kerajaan untuk sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa dan berdasarkan Belanjawan 2021, unjuran defisit adalah 5.4 peratus, katanya.

“Namun, kerajaan telah mengambil pendirian dasar fiskal yang mengembang dalam mengatasi krisis Covid-19. Oleh itu, defisit untuk tahun ini dijangka mencecah antara 6.5 hingga 7.0 peratus,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, setakat 15 Sept, daripada jumlah peruntukan RM322.5 bilion di bawah Belanjawan 2021, RM216 bilion atau lebih 66 peratus telah dibelanjakan seperti yang dirancang.

Bagi menampung suntikan fiskal tambahan khusus untuk menangani krisis Covid-19, kerajaan telah membiayai langkah pakej rangsangan ekonomi melalui Kumpulan Wang Covid-19 (KWC), katanya.

Beliau berkata setakat pertengahan September 2021, nilai keseluruhan yang telah dibelanjakan di bawah KWC telah mencecah RM60 bilion, atau lebih daripada 90 peratus siling semasa KWC bernilai RM65 bilion.

“Mengambil kira keperluan tambahan, kerajaan akan membentangkan dalam dewan yang mulia ini untuk meningkatkan lagi had siling KWC daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

“Ini bertujuan membiayai bantuan dan sokongan tambahan bagi tahun ini dan selanjutnya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM33 bilion sebagai bantuan tunai langsung kepada rakyat.

Selain itu, semasa menjawab pertanyaan Lim mengenai usaha kerajaan untuk membawa balik wang yang di simpan di luar pesisir seperti yang dinyatakan di dalam ‘Pandora Papers’, beliau berkata mana-mana individu boleh membuka akaun dengan bank berlesen, termasuk akaun luar pesisir.

Bagaimanapun proses usaha wajar pelanggan hendaklah lulus seperti yang disyaratkan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram, katanya.

Beliau menegaskan sektor kewangan negara tidak mempunyai kelemahan dari segi perundangan kewangan dan sektor ini dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

“Manakala aktiviti kewangan luar pesisir dikawal selia oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan mengikut penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 dan juga Akta Perkhidmatan Kewangan Sekuriti Islam Labuan 2010,” katanya.

Beliau berkata penyiasatan yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) adalah berasaskan kebocoran rekod sulit 14 penyedia perkhidmatan profesional luar pesisir kepada individu atau syarikat untuk menubuhkan syarikat tidak aktif, yayasan atau entiti lain di negara yang mempunyai kelemahan dalam perundangan kewangan.

– Bernama