Trend perniagaan dalam talian meningkat

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato
Sri Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen semalam.

KUCHING: Trend perniagaan dalam talian mula meningkat lebih-lebih lagi semenjak penularan pandemik Covid-19 yang mana para peniaga telah beralih ke ekosistem digital.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sejak 1 Januari 2021 sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 109,534 perniagaan dalam talian telah didaftarkan dan terdapat 1,611 syarikat yang telah menjalankan perniagaan dalam talian.

Katanya, ini mencatatkan peningkatan sebanyak 71.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM )juga telah memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang memberikan pendaftaran percuma kepada usahawan Kumpulan B40 dan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa dan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) diteruskan bagi memberikan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan percuma kepada OKU.

“Sebagai Menteri KPDNHEP, saya dan pihak kementerian turut mengambil peluang membangunkan perniagaan berkonsepkan digital khususnya dalam sektor peruncitan iaitu Pendigitalan Sektor Runcit (REDI) yang dapat mengurangkan kos operasi dan mempercepatkan capaian pasaran bagi kalangan peniaga. Program ini telah dilancarkan pada April tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat di Dewan Rakyat, semalam.

Nanta berkata, kementerian turut memandang serius ke atas aduan-aduan transaksi atas talian yang dilaporkan oleh pengguna dan mengambil tindakan yang tegas terhadap peniaga atas talian yang melanggar perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Sebanyak 9,323 aduan telah diterima bermula Januari hingga September 2021 dan 8,878 aduan telah selesai manakala 445 masih dalam siasatan.

“Pelbagai langkah telah diambil bagi menyelesaikan aduan atas talian antaranya dengan menjalankan siasatan dan pemeriksaan di premis berkaitan serta menjalinkan kerjasama bersama pihak-pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pembekal Internet (ISP), Syarikat Telekomunikasi (Telcos) dan pengendali pasaran dalam talian,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar isu ini dapat dielakkan dan peniaga perlulah lebih jujur dalam urusan penjualan serta pembeli perlu berhati-hati ketika membuat pembelian.