Kemenangan bukan nasib

AKSI terakhir Sarawak United menentang Sri Pahang FC di Stadium UITM Shah Alam, baru-baru ini. • Foto MFL

ENAM belas perlawanan awal saingan TM Piala Malaysia sudah pun berlangsung sempurna dengan beberapa kejutan tercipta.

Ketika saingan peringkat kumpulan akan berehat buat seketika bagi memberi ruang kepada Harimau Malaya, aksi kedua yang berlangsung baru-baru ini ditutup dengan penuh klimaks.

Sama juga seperti perlawanan pertama, aksi kedua peringkat kumpulan terus menyajikan kejutan dan menghasilkan topik perbincangan dikalangan penggiat mahu pun peminat.

Jika perbandingan dibuat, ada beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan khususnya mengenai perlawanan kedua kali ini.

Skuad yang diberi tumpuan penuh ketika ini, Sarawak United FC terutamanya, sebelum memasuki kempen Piala Malaysia dengan berita kurang enak rentetan hukuman dihadapi pemain, pegawai dan jurulatih pasukan.

Malah tumpuan Kumpulan A seakan lebih banyak tertumpu kepada Penang FC dan Kuala Lumpur City FC sebaliknya lain pula jalan cerita yang disajikan anak buah E Elavarasan ini.

Kemenengan ke atas Sri Pahang FC, Rabu lalu membuktikan yang kejutan ke atas Penang FC pada perlawanan pertama bukanlah hadir menerusi nasib semata-mata.

Ia terbukti apabila amukan Sarawak United mampu mengejutkan pasukan pilihan, Penang FC 3-1 pada aksi sulung di Stadium Bandaraya dan meraih kemenangan tipis 1-0 berdepan Sri Pahang di Stadium UITM Shah Alam.

Sudah pastinya, anak-anak buah Elavarasan selepas kembalinya beraksi daripada berehat nanti, mahu menjadikan Kuala Lumpur City sebagai pasukan ketiga daripada Liga Super ‘mangsa amukan’ skuad Kenyalang Emas yang dijadual berlangsung pada 30 Oktober nanti.

Selain Sarawak United yang cemerlang dengan dua kemenangan, empat lagi wakil dari Liga Premier sudah menyerlahkan kehadiran mereka bukanlah sekadar pelengkap jadual.

Dalam pada itu, Elavarasan mengakui masih terlalu awal untuk berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas menang dua aksi TM Piala Malaysia, baru-baru ini.

Meskipun mereka melakar kejutan menewaskan dua pasukan yang berada dalam saingan Liga Super, beliau menganggap setiap lawan adalah berbeza dan apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan akan datang apatah lagi mereka hadir sebagai satu-satunya pasukan dari Liga Premier dalam kumpulan A.

Tetapi, bekas jurulatih Melaka United FC ini tetap berbangga dengan usaha barisan pemain bagi memastikan permulaan yang cukup positif untuk mereka meraih mata penuh dalam dua aksi terbabit dan bersedia dengan motivasi baharu untuk berdepan Kuala Lumpur City, penghujung bulan Oktober ini.

Oleh ADI SAFARMAN